Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pakatan Harapan akan bertarung habis-habisan di pusingan akhir pilihan raya kecil Tanjung Piai di Johor dalam cubaannya untuk mempertahankan kerusinya kali ini.

Meskipun demikian, ramai pengundi yang ditemui Malaysiakini dilihat masih berada “atas pagar”.

Bagaimanapun, BN dan MCA khususnya dilihat bimbang. Mereka dilihat kurang optimis mengenai peluang memenangi kerusi tersebut berbanding seminggu lalu.

Dalam pilihan raya kecil itu, BN - yang hilang kerusi parlimen itu pada pilihan raya umum 2018 dengan majoriti kecil 524 undi - dilihat mempunyai kelebihan berbanding PH berikutan ketidakpuasan hati pengundi.

Bekas gabungan parti pemerintah itu sepatutnya mengekalkan asas sokongan Melayu selain mendapatkan sokongan PAS manakala beberapa pengundi Cina memasang niat untuk memberikan undi protes terhadap PH.

Dalam menghadapi sokongan yang semakin merudum, kerajaan PH memperuntukkan dana hampir RM17 juta ke Tanjung Piai, kebanyakannya sebelum hari penamaan calon.

Sewaktu berkempen, ia menjadi permulaan yang perlahan untuk PH. MCA, yang sebelum ini susah menarik ramai hadirin ke ceramahnya, kadangkala mampu mengalahkan hadirin dalam ceramah PH.

Tetapi kempen PH mula mendapat momentum pada minggu terakhir dengan kedatangan pemimpin kanan mereka seperti presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada dua ceramahnya pada hari Isnin, Anwar menarik lebih daripada 400 orang di Pekan Nanas dan lebih 700 di pentas utama di bandar Pontian.

Penambahan orang ramai yang hadir itu diteruskan pada hari Rabu apabila kira-kira 2,500 hadir untuk mendengar Mahathir bercakap di Kukup.

PH sentuh isu perkauman

PH kadangkala menyentuh isu perkauman dalam kempen mereka, sesuatu yang pernah dikritik mereka sewaktu pentadbiran BN sebelum ini.

Ini termasuk risalah 'Kempen Beli Produk Islam' yang tersebar mendesak pengundi di ceramah yang dihadiri oleh Mahathir.

Pemimpin PH bagaiamanapun menolak tindakan tersebut yang disifatkan sebagai tindakan sabotaj meskipun warna dan format risalah tersebut dilihat bersesuaian dengan majlis kempen PH.

Mahathir juga menulis surat terbuka merayu secara peribadi mendesak pengundi Tanjung Piai untuk menyokong Karmaine Sardini dan bukannya Wee Jeck Seng dari BN.

Kedua-dua mesej Mahathir dan Anwar adalah sama yang mengatakan masih terlalu awal untuk menilai dan menghukum PH.

Selain cuba menepis undi protes, PH juga melancarkan serangan kepada Jeck Seng dengan papan iklan sarkastik yang menyamakan undi terhadap Wee adalah undi untuk bekas perdana menteri Najib Razak, yang dibicarakan kerana didakwa terlibat dalam skandal 1MDB.

DAP juga mendedahkan sewaktu Jeck Seng ketika menjadi pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, membelanjakan RM343,000 dalam kerja-kerja pengubahsuaian di pejabat kosong dan membima tandas pintar.

Sementara itu, sebuah video exco Pemuda Umno tahun lalu, Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang lebih dikenali sebagai Papagomo, mengatakan bahawa orang Cina dan India sepatutnya mendapat hak mengundi mereka, juga dimainkan semula. Klip itu diedarkan dengan gambar Papagomo bersama pemimpin MCA.

Strategi itu kelihatan berkesan, memaksa MCA pada awalnya yakin dengan Jeck Seng yang enggan mengulas mengenai dakwaan itu. Manakala bosnya pula, presiden MCA, Wee Ka Siong, mengambil peranan untuk melindunginya.

Pada masa sama, satu hantaran Facebook oleh Jeck Seng mengenai "menentang Jawi" yang kemudian disunting, juga tidak membantunya.

Najib, yang berada di sana berkempen untuk Jeck Seng di ceramah BN-PAS semalam, menafikan hantaran tersebut dan mendakwanya sebagai satu “putar belit” meskipun rata-rata yang ditemu bual Malaysiakini di situ tidak tahu-menahu tentang hantaran Facebook tersebut.

Namun, ia mencerminkan keprihatinan BN mengenai kemungkinan kehilangan sokongan asas dari pengundi Melayu.

Pemimpin kanan bina momentum

Pada Rabu, ceramah Mahathir dihadiri ramai orang Melayu. Ramai yang hadir memakai baju PH. Ini menunjukkan bahawa mereka adalah pekerja yang bertugas untuk parti, yang tidak semestinya pengundi. Namun jumlah orang ramai yang hadir di situ mampu memberikan kesan psikologi terhadap penduduk tempatan.

"Banyak orang pergi melihat (mereka bercakap) kerana sekarang yang bertanggungjawab adalah kerajaan.

“Jika kita memilih pembangkang dengan siapa kita nak mengadu?” kata nelayan Hasan Abdul Aziz yang bersara dari daerah pengundian Serkat.

Turut senada merupakan seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Rahim.

“Jika ada sokongan, ini adalah kerana orang-orang seperti Mahathir datang ke pekan ini, saya berada di ceramah Kukup dan terdapat ramai orang," katanya.

Pemilik restoran tempatan, yang enggan namanya didedahkan kerana tidak mahu ia mempengaruhi perniagaannya, berkata beliau percaya PH telah membuat kemajuan di kawasannya yang majoritinya Melayu walaupun BN masih menguasai majoriti sokongan di sana.

Bagaimanapun, ketidakpuasan masih berterusan di kalangan beberapa pengundi. Contohnya, Rahim berkata ibunya mahu menyokong BN selepas kerajaan memotong bantuan.

"Dia penyokong BN. Selepas pilihan raya umum, dia fikir PH mungkin baik tapi lepas itu dia ubah fikiran sebab dia tidak dapat bantuan kerajaan," katanya.

Ketidakpuasan hati ini lebih ketara di kalangan komuniti Cina apabila kerajaan dilihat tersilap langkah dalam isu seperti pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular dan kehadiran Mahathir di Kongres Maruah Melayu bulan lalu.

Rayuan Mahathir dan Anwar supaya undi protes tidak berlaku nampaknya tidak meyakinkan mereka sepenuhnya.

Pengundi belum pasti, masih tidak yakin

Ditemui di ceramah DAP di Pekan Nanas malam tadi, Grace Tong berkata dia sedang mempertimbangkan untuk mengundi BN kerana prestasi kerajaan merudum bawah jangkaan dan mendakwa Mahathir menggunakan sentimen perkauman.

"Saya akui, tahun lepas saya mengikuti trend (menyokong PH), tetapi kali ini saya perlu membuat pilihan yang lebih berhati-hati, jadi saya mendengar kedua-dua ceramah PH dan MCA ceramah untuk saya bandingkan sendiri.

"Mahathir sangat anti-Cina, banyak dasar yang dicadangkannya adalah sehala dan tidak inklusif,” katanya.

Tong, yang bekerja sebagai jurujual juga mengeluh keadaan ekonomi, dengan mengatakan pasar di Tanjung Piai tidak aktif.

Sementara itu, anak muda Siaw Jun Jie dan Tan Wei Hao berkata mereka masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang harus dipilih.

"Untuk pilihan raya kecil ini, kami masih menimbangkan sama ada untuk mengundi calon atau mengundi berdasarkan parti itu, sesetengah rakan kami mempunyai pemikiran yang sama," kata Siaw.

Kedua-duanya mereka berkata jika mereka mengundi kerana calon, ia akan menjadi Jeck Seng, yang menurut mereka, berkhidmat dengan baik di Tanjung Piai walaupun bukan merupakan ahli parlimen yang aktif di Dewan Rakyat.

"Sebab kami masih belum membuat keputusan adalah kerana parti (BN) di belakang Jeck Seng tidak baik, tetapi kami juga tidak pasti sama ada calon PH (Karmaine Sardini) adalah baik walaupun parti itu okey,” tambah Tan.

Ramalan berbeza

Kini terdapat kebimbangan dalam MCA bahawa ia tidak akan mendapat banyak faedah sebanyak yang diharapkan daripada undi protes kerana sesetengah pengundi Cina mungkin memilih Gerakan.

Semalam, setiausaha agung MCA Chong Sin Woon mengadu bahawa Gerakan hanya menyasarkan MCA dan menuduh parti itu memecahkan undi Cina.

"Saya rasa, Gerakan lebih seperti penyerang yang menyerang MCA dari sebelah, dan bukannya untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Apabila mereka tidak menyatakan pendapat terhadap pihak lawan yang begitu besar, ini sangat mencurigakan," kata Chong.

Serangan ke atas Gerakan perlu diberi perhatian kerana kedua-dua BN dan Harapan tidak memberi perhatian kepada parti itu pada peringkat awal.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam pula tidak mempunyai peluang realistik untuk memenangi pilihan raya kecil tetapi boleh memainkan pemecah undi.

Pertarungan ini kelihatan memuncak pada waktu akhir kempen ketika kedua-dua BN dan PH berusaha menghangatkan permainan mereka.

Kajian dua badan penyelidikan memberikan dua ramalan berbeza bagi PRK Tanjung Piai.

Selain Jeck Seng, Karmaine dan Wendy, pencabar lain dalam pilihan raya kecil itu ialah Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Kempen bermula pada 2 Nov dan pengundi Tanjung Piai akan memilih esok.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas anggota parlimen Bersatu, Md Farid Md Rafik, meninggal dunia akibat serangan jantung pada bulan September, hanya tiga minggu sebelum ulang tahun ke-43.

Lihat Komen
ADS