Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Keputusan kes 'bin Abdullah': SIS gesa utamakan kepentingan kanak-kanak

Sister in Islam (SIS) berkata kepentingan kanak-kanak perlu menjadi pertimbangan utama dalam semua undang-undang, dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada golongan itu.

Menjelang keputusan Mahkamah Persekutuan menjelang kes 'bin Abdullah', SIS dalam kenyataan hari ini menggesa semua pihak mempertahankan hak kanak-kanak terhadap nama, identiti dan keluarga mereka.

NGO itu juga menggesa Mahkamah Persekutuan mengiktiraf lelaki yang menjadi bapa kanak-kanak - dalam kes bayi Islam yang lahir di luar nikah - untuk didaftarkan sebagai bapa dalam dokumen pengenalan rasmi, bukannya 'bin atau binti' Abdullah.

"Amalan mendaftar anak beragama Islam dengan 'bin/binti Abdullah' jika mereka lahir dalam tempoh enam bulan selepas tarikh perkahwinan menyebabkan kesan serius dan tidak adil kepada emosi dan masa depan anak itu," katanya.

Berdasarkan undang-undang Syariah Malaysia, bayi yang lahir kurang enam bulan selepas perkahwinan ibu bapanya dianggap sebagai tidak sah taraf.

Dalam kes seumpama itu, kata SIS, kanak-kanak Islam dihukum dan digelar "tidak sah" untuk apa yang dianggap sebagai dosa ibu bapa mereka.

"Kami menerima banyak laporan berkenaan hak kanak-kanak yang lahir luar nikah.

"Bukan saja ketika pendaftaran kelahiran, tetapi juga apabila mereka memohon kad pengenalan, pendaftaran sekolah, apabila nak berkahwin dan ketika kematian ibu bapa mereka," kata SIS.

Berdasarkan rekod NGO itu, SIS berkata jumlah laporan pada 2017 lebih rendah selepas keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa untuk meletakkan 'bin/binti Abdullah' dalam dokumen rasmi kanak-kanak yang lahir luar nikah.

Mahkamah Rayuan ketika itu sebaliknya berkata tiada masalah untuk meletakkan nama bapa dalam dokumen itu jika dipersetujui bapa dan ibu bayi terbabit.

SIS menyifatkan keputusan itu sebagai dibuat untuk kepentingan kanak-kanak dan maka kecewa apabila rayuan dibuat terhadapnya.

"Malang apabila keputusan itu segera ditolak golongan Muslim konservatif yang mengganggap langkah itu ke arah 'menghalalkan zina'.

"Kepentingan kanak-kanak perlu menjadi pertimbangan utama semua undang-undang, dasar dan keputusan yang memberi kesan kepada mereka.

"Prinsip ini dipertahankan oleh ajaran Islam, hak asasi manusia... Tiada justifikasi untuk melabelkan seorang anak sebagai 'tak sah taraf' dan menafikan hak mereka sebagai anggota keluarga," kata SIS.

Pada Mei 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman oleh satu pasangan agar JPN menukar 'bin Abdullah' di surat beranak dengan nama bapa.

Kerajaan, JPN dan ketua pengarah jabatan itu kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Semalam, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata, tarikh penghakiman belum diputuskan kerana mereka memerlukan masa selepas pihak yang terlibat membangkitkan isu yang memerlukan pertimbangan serius.

Lihat Komen
ADS