Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Miri: Dengan restu Anwar, konvensyen PKR S'wak akan diteruskan

Konvensyen PKR Sarawak yang dijadual diadakan di Miri pada 23 November ini akan diteruskan walaupun pengerusi PKR negeri Baru Bian mengancam untuk membatalkannya, kata Anggota Parlimen Miri daripada PKR Michael Teo Yu Keng.

Teo berkata beliau mendapat restu daripada Presiden PKR Anwar Ibrahim dan pengarah konvensyen negeri Nik Nazmi Nik Ahmad untuk meneruskan program itu.

Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana pembatalan konvensyen tidak adil buat anggota parti di negeri itu yang telah membuat persiapan untuk menghadirinya.

"Kami faham sejumlah anggota telah pun membuat persiapan seperti pengangkutan, membeli tiket dan menempah hotel.

"Pembatalan saat akhir bukan saja tidak adil buat anggota tetapi memberi tanggapan buruk kepada parti. Bagi saya, langkah itu sangat tidak profesional bagi pihak Majlis Pimpinan Negeri.

"Kita putuskan untuk teruskan program pada 23 November ini dengan kebenaran Nik Nazmi dan presiden Anwar Ibrahim," katanya membaca kenyataan ketika sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Iswardy Morni

Turut hadir di sidang media itu ialah anggota PKR dan pengerusi Pro-Keadilan Sarawak Iswardy Morni, yang mendakwa ramai anggota dan ketua cabang telah setuju untuk menghadiri konvensyen walaupun dengan seruan pembatalan oleh Baru Bian.

Iswardy berkata, pimpinan pusat PKR ada kuasa untuk menentukan soal konvensyen dan PKR negeri hanya bertindak sebagai penganjur.

Katanya, antara yang sudah setuju untuk hadir ialah ketua cabang Limbang, Sibuti, Selangau, Hulu Rajang, Baram dan Igan.

Selain ketua cabang dan anggota mereka, anggota cabang lain seperti Petra Jaya dan Betong telah berkata akan hadir," katanya lagi.

Sidang media itu dibuat susulan kenyataan media Baru Bian hari ini, yang memberi kata dua kepada kepimpinan pusat PKR berhubung pembatalan jemputan timbalan presiden Azmin Ali untuk merasmikan Kongres Nasional Pemuda PKR.

Pembatalan bertentangan semangat demokrasi

Dalam kenyataan berbeza, Nik Nazmi membidas keputusan pimpinan PKR Sarawak dan berkata mereka tidak akan berhasrat untuk membatalkan konvensyen jika benar-benar percaya kepada nilai demokrasi parti itu.

"Berkenaan Konvensyen PKR Sarawak, kita telah mengadakan perbincangan panjang dengan pemimpin negeri sejak September lalu, dengan perbincangan terakhir dibuat semalam.

"Maka konensyen akan berjalan seperti yang dijadualkan," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan Baru Bian bahawa pembatalan jemputan Azmin telah mencalar semangat demokrasi PKR dan memaklumkan Pemuda PKR membuat keputusan itu dalam mesyuarat 20 Oktober lalu.

Sementara itu, empat ketua cabang PKR Sarawak, termasuk Teo, yang mendakwa mewakili 13 ketua cabang lain, turut mengeluarkan kenyataan bersama bagi membantah keputusan Baru Bian.

Tiga ketua cabang itu ialah Joshua Jabeng (Selangau), Piee Ling (Batang Sadong) dan Larry Sng (Julau).

Lihat Komen
ADS