Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kabinet sekarang telah "menjual kedaulatan negara", kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata Abdullah mesti menghadiri sesi perbahasan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) minggu depan untuk memberi "penjelasan sepenuhnya mengenai sejarah, fakta latarbelakang dan sebabnya" bagi menjawab dakwaan Dr Mahathir itu.

Katanya, kritikan pedas Dr Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah kerana pembatalan pembinaan jambatan tersebut untuk menggantikan Tambak Johor di sebelah Malaysia, memerlukan perhatian, kerana terdapat percanggahan dalam penjelasan yang diberi oleh kerajaan.

Contohnya, kata Lim, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar mengakui Isnin lalu bahawa Malaysia tidak boleh membina jambatan itu tanpa persetujuan negara jirannya, yang jelas bercanggah dengan kenyataannya sebelum ini.

Proses perundangan

Minggu lalu, dalam reaksi segeranya terhadap keputusan kerajaan itu, Syed Hamid berkata "undang-undang menyebelahi kita" dan Malaysia akan menang sekalipun jika Singapura membawanya ke mahkamah antarabangsa.

Lim berkata, Mahathir berhak membangkitkan isu tanggungjawab demokrasi dan pentabiran yang baik oleh kerajaan Abdullah kerana projek itu dibatalkan selepas tiga minggu kerja pembinaannya dimulakan.

"Mengapa kabinet sebulat suara membatalkan projek jambatan itu sedangkan beberapa tahun lalu, hampir anggota kabinet yang sama juga, sebulat suara menyokong pembinaannya ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri?" soal Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Berbalik kepada Syed Hamid, yang semalam dilaporkan berkata, kabinet telah membincangkan perkara tersebut "secara terinci", Lim bertanya sama ada perbincangan diadakan sewaktu atau selepas persaraan Dr Mahathir.

Lim juga mahu tahu apakah Pejabat Peguam Negara bersifat konsisten dalam memberi nasihat mengenai kesan perundangan sekiranya Malaysia membina jambatan itu tanpa persetujuan negara jiran, dan apakah Dr Mahathir dan anggota kabinet sebelum ini tidak memperdulikan pandangan perundangan dari pejabat berkenaan.

Tapisan media

Lim juga mempertikaikan dakwaan Dr Mahathir bahawa sewaktu pemerintahannya, pihak media tidak pernah diarahkan supaya jangan menyiarkan laporan berita tertentu.

Ketua pembangkang itu menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "tidak benar sama sekali", kecuali tindakan tersebut dilakukan di luar pengetahuan Dr Mahathir.

"Adalah Mahathir (sekarang) bersetuju siasatan awam penuh dijalankan mengenai bagaimana kerajaannya tidak mengawal pihak media sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri?

"Kecaman Dr Mahathir mengenai kurangnya kebebasan akhbar tidak boleh diketepikan begitu sahaja sekiranya Abdullah ikhlas dan serius mengenai ikrar pembaharuannya untuk "mendengar kebenaran dari rakyat," kita Lim yang pengkritik utama Dr Mahathir, tetapi menyokong keputusan Abdullah membatalkan projek tersebut.

Selain masalah perundangan dan teknikal, keputusan pembatalan tersebut dibuat kerana Malaysia tidak bersedia memenuhi tuntutan Singapura untuk mendapatkan bekalan pasir dan pesawat tenteranya dibenar menggunakan ruang angkasa negara ini. Berita asal