Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Serius tanggapi isyarat jelas dari Tanjung Piai
Diterbitkan:  Nov 17, 2019 8:25 AM
Dikemaskini: 12:25 AM

PRK TG PIAI | PH Johor menerima keputusan keputusan di Tanjung Piai sebagai satu isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti, kata pengerusinya Muhyiddin Yassin.

“Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula ke paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat,” kata beliau dalam satu kenyataan bersama pemimpin PH Johor yang lain di Pontian malam tadi.

Bersama dalam kenyataan itu ialah Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Amanah, Aminolhuda Hassan; Pengerusi DAP, Liew Chin Tong; dan Pengerusi Bersatu, Mazlan Bujang.

PH Johor turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera parti yang bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam kempen PRK itu.

Sementara itu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menyifatkan keputusan malam tadi sebagai mesej jelas rakyat kepada kerajaan PH.

Sambil mengucapkan tahniah kepada calon BN, Dr Wee Jeck Seng, kerana memenangi kerusi parlimen itu, Anwar berkata PH menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat.

“Majoriti yang diperoleh pembangkang ini satu kejutan dan ia mesej jelas kepada seluruh pimpinan PH. Kita seharusnya mengambil pengajaran dan iktibar daripada keputusan PRK ini,” kata beliau.

Anwar turut mengingatkan pimpinan kerajaan supaya berusaha menanam keyakinan rakyat terhadap dasar yang dibawa dengan usaha positif melaksanakan janji.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kekalahan itu sesuatu yang pahit untuk ditelan.

“Rakyat sudah bersuara. Suara rakyat, suara keramat. Saya memohon maaf kepada belia Malaysia atas kekurangan saya. Kemarahan ini perlu dijawab dengan tindakan. Sekali lagi, minta maaf,” kata beliau.

Wee merampas kembali kerusi parlimen Tanjung Piai apabila diumumkan pemenang dengan majoriti 15,086 undi selepas selesai proses penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Calon BN dari MCA itu memperolehi 25,466 undi sekali gus mengalahkan pencabar terdekatnya, calon PH Karmaine Sardini yang memperolehi 10,380 undi.

Calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Berjasa Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Keempat-empat mereka hilang wang deposit kerana tidak berjaya mendapat 12.5 peratus atau satu perlapan dari jumlah undi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS