Penoreh getah diperdaya RM185,000
Seorang penoreh getah mendakwa mengalami kerugian RM184,999 selepas mempercayai dakwaan 'pegawai tinggi Bukit Aman’ untuk memindahkan wang simpanannya ke dalam akaun yang tidak diketahui.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa - berusia 45 tahun - mendakwa suspek meminta dia berbuat demikian kononnya bagi tujuan siasatan kerana maklumat perbankan peribadinya disalah guna pihak ketiga.
Katanya mangsa mendakwa dihubungi seorang lelaki yang mengaku kakitangan bank pada Khamis lepas kononnya kerana mempunyai tunggakan kad kredit berjumlah RM7,000 menerusi kad didaftarkan di Kuala Lumpur.
"Panggilan itu dikatakan disambung ke pegawai polis Bukit Aman kerana memerlukan siasatan lanjut ekoran kad pengeluaran wang automatik (ATM) mangsa serta nombor CVC yang ada di belakang kad itu diketahui pihak ketiga.
"Mangsa mendakwa pegawai polis itu telah mengarahkannya memindahkan semua wang simpanan ke empat akaun berbeza yang diberikan suspek bagi memastikan wang itu tidak hilang dengan jaminan akan dipulangkan dalam tempoh tiga hari," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Mohd Wazir berkata mangsa yang bimbang wang simpanannya - termasuk wang pusaka - hilang, menuruti semua arahan diberi suspek dan tidak membuat semakan dengan pihak bank kerana 'menunggu' tempoh masa yang diberikan.
Katanya, mangsa kemudian tidak dapat menghubungi suspek selepas tiga hari menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera, semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu seorang remaja lelaki dari Benta, Lipis mendakwa kerugian RM800 selepas diperdayakan dalam urusan pembelian tiket loteri di laman sosial, yang diiklankan pada 4 Nov lepas.
Mohd Wazir berkata mangsa berusia 19 tahun mendakwa berurusan dengan suspek menerusi nombor WhatsApp yang tertera di iklan itu dan diminta membayar RM300 bagi mendapatkan tiket loteri yang dikatakan mudah menang.
"Suspek membuat bayaran itu pada 6 Nov lalu dan pada 8.30 malam hari sama, dia dimaklumkan nombor tiket loteri itu menang, namun disyaratkan perlu membayar RM500 sebelum dapat menuntut wang kemenangan.
“Bagaimanapun dia mendapati nombor telefonnya telah disekat daripada menghubungi suspek selepas selesai membuat pembayaran itu," katanya.
- Bernama

