Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid: Kekalahan di Tg Piai bukan salah Dr M seorang
Diterbitkan:  Nov 17, 2019 1:13 PM
Dikemaskini: 6:20 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mempertahankan Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dengan berkata bahawa kekalahan PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai semalam adalah “tanggungjawab bersama” pakatan itu.

Katanya, Dr Mahathir tidak sepatutnya disalahkan atas kekalahan itu kerana keputusan yang dibuat dalam PH bukan diputuskan oleh perdana menteri itu sendiri tetapi mendapat persetujuan pemimpin PH yang lain.

“Ia tanggungjawab bersama.

“Terlalu senang meletakkan kesalahan pada seorang. Semua ada kelemahan dan kekurangan. Begitu juga kelebihan dan kekuatan.

“Tak mungkin Tun (Dr Mahathir) melakukan sesuatu tanpa persetujuan kita bersama. Perkukuhkan kerjasama dan sama-sama perbaiki. Saya team player,” ciapnya di Twitter.

Khalid yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Amanah berkata demikian sebagai respons terhadap pihak yang menyalahkan Dr Mahathir susulan  kekalahan besar PH di Tanjung Piai semalam.

Antara yang melemparkan kritikan adalah veteran PKR Syed Husin Ali yang menyifatkan kekalahan PH sebagai referendum rakyat yang kecewa dan mahu “mengajar” kerajaan pimpinan Dr Mahathir.

“Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak-dalik lagi!” katanya di Twitter.

Dalam sebuah wawancara bersama Malaysiakini pada awal Oktober lalu, Syed Husin mendakwa Dr Mahathir "telah kembali kepada autoritarinisme".

Syed Husin juga merupakan antara pemimpin PH yang sebelum ini mempersoalkan ketiadaan tarikh tertentu untuk Dr Mahathir menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim, seperti dipersetujui PH sebelum PRU ke-14.

Selepas kekalahan besar dengan majoriti 15,086 undi semalam, beberapa pemimpin PH tampil memberikan kenyataan senada, bahawa mereka mengakui kekalahan itu merupakan satu mesej jelas rakyat terhadap pentadbiran PH.

Malah Anwar sendiri menyifatkan undi diraih calon BN Wee Jeck Seng sebagai sesuatu yang “cukup mengejutkan”, dan mengingatkan PH untuk menanam keyakinan rakyat terhadap PH dengan melaksanakan janji-janji sebelum PRU lalu.

Pemimpin Bersatu, Rais Yatim pula berkata sekiranya PH terus tidak menunaikan janji PRU ke-14 dan tidak mendengar pandangan rakyat, PH akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang.

Wee mengalahkan calon PH Karmaine Sardini, dengan memperolehi 25,466 undi, sementara Karmaine memperolehi 10,380 undi.

Pesaing lain ialah calon Gerakan Wendy Subramaniam memperolehi 1,707 undi, calon Berjasa Dr Badhrulhisham Abdul Aziz memperolehi 850 undi, sementara dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi manakala Faridah Aryani Abdul Ghaffar sekadar mendapat 32 undi.

Lihat Komen
ADS