Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Insiden kereta MP Batu dibaling telur bukan isu keselamatan

Polis menyifatkan insiden kereta milik anggota Parlimen Batu, P Prabakaran dibaling dengan telur dalam satu kejadian yang berlaku di Kuala Lumpur sebelum ini tidak membabitkan isu keselamatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim bagaimanapun berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian itu mempunyai kaitan dengan gesaan pihak tertentu supaya beliau melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Naib Presiden PKR Tian Chua kembali bertanding di kerusi Batu.

"Dia tak ada isu apa sebenarnya. Cuma isu baru-baru ini yang minta beliau supaya letak jawatan. Tapi ini tak ada kaitan dengan soal keselamatan,” katanya.

Mazlan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perkahwinan Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Kelmarin, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire Prabakaran dibaling telur di sebuah restoran di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur selepas kereta itu diparkir oleh pemandunya sebelum pulang.

Kejadian itu disedari Prabakaran pada jam 12.45 tengah malam selepas bertemu dengan tiga kenalannya di restoran berkenaan.

Susulan insiden itu, Prabakaran membuat satu laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul.

"Saya membuat laporan ini atas kerisauan keselamatan saya terancam terutamanya dalam keadaan isu-isu semasa sekarang ini," mengikut laporan polis tersebut.

Mengulas lanjut insiden tersebut, Mazlan berkata pihaknya akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian bagi membantu siasatannya.

Bagaimanapun, kata Mazlan, setakat ini pihaknya tidak ada sebarang maklumat lanjut berhubung insiden itu.

"Di kawasan parkir itu memang tak ada CCTV, tetapi kita sedang cari di kawasan berhampiran," katanya.

Secara kebetulan, serangan telur terhadap kereta Prabakaran berlaku selepas isu hangat apabila gabungan 14 NGO mendesaknya supaya melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Tian Chua kembali bertanding di kerusi Batu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Tian Chua layak untuk bertanding dalam pilihan raya.

Bagaimanapun Tian Chua menafikan yang beliau terbabit dengan sebarang desakan supaya anggota parlimen Batu itu melepaskan jawatan.

Prabakaran, 23, bertanding sebagai calon bebas di parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu. Kempen Prabakaran ketika itu mendapat sokongan Tian Chua dan PH.

Selepas memenangi kerusi itu, Prabakaran menyertai PKR.

Pasa 14 Nov lalu, Prabakaran menegaskan beliau tidak berhasrat melepaskan tugasnya di pertengahan jalan.

Katanya sebagai anggota parlimen PKR beliau ingin terus menyumbang tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.

Lihat Komen
ADS