Kementerian Pertanian dan Industri Asas (MOA) menyasarkan 1,200 usahawan dilatih di bawah program agroprenuer pada tahun hadapan.
Ketua setiausaha kementerian itu, Mohd Sallehuddin Hassan, berkata RM20 juta diperuntukkan melalui Geran Agropreneur Muda (GAM) iaitu bantuan berbentuk barangan bagi meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan mereka.
"Bagi mencapai hasrat itu, MOA menjalankan jelajah ke seluruh negara bagi melihat usahawan yang berpotensi untuk dikembangkan dan potensi masing-masing," katanya kepada pemberita sempena program Jelajah Agropreneur Muda di Sabah di Kampung Tambotouan, Kota Belud, semalam.
Mohd Sallehuddin berkata program agroprenuer muda itu meliputi bidang tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, agropelancongan dan pemasaran yang boleh diceburi usahawan berumur antara 18 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, untuk Sabah seramai 449 usahawan menyertai progam itu sejak Jan 2016 hingga 30 Okt lepas dengan jumlah peruntukan berjumlah RM6.1 juta.
Dalam pada itu, Mohd Sallehuddin berkata Kampung Tombotoun dilihat berpotensi untuk diletakkan di bawah program Mykampung Myfuture.
Bagaimanapun katanya beberapa kemudahan asas perlu ditambah baik untuk menarik lebih ramai pelancong ke kampung itu yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.
Katanya kampung berkenaan mempunyai kawasan pelancongan yang cantik malah terletak di tepi Sungai Tombotouan, selain mampu menghasilkan padi berasaskan bahan organik
"Di sini kita dapat melihat bagaimana penduduk kampung mengusahakan ekopelancongan yang boleh dikembangkan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampung," katanya.
Program yang berlangsung selama dua hari itu berakhir hari ini, meliputi lawatan MOA ke beberapa kawasan perusahaan agroprenuer muda di daerah Tuaran, Tamparuli, Kota Belud, Ranau, Tambunan dan Kota Kinabalu.
- Bernama
