Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

KES PINDA LAPORAN AUDIT | Bekas presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, disenarai sebagai antara saksi yang akan memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak,

Hal itu didedahkan Timbalan Pendakwa Raya, Gopal Sri Ram, dalam keterangan pembukaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu bertindak sebagai ketua pendakwaan.

Dalam perbicaraan tersebut, Najib dan Arul Kanda dibicarakan secara bersama. Najib didakwa meminda laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB pada 2016, manakala Arul Kanda didakwa bersubahat dengan ahli parlimen Pekan itu.

Menurut Gopal pihak pendakwaan akan membuktikan kepada mahkamah bahawa jenayah yang disebut itu berlaku dalam satu mesyuarat dihadiri Najib pada 24 Fen 2016.

"Arul Kanda dengan tindakannya sebelum mesyuarat yang dinyatakan pada pertemuan itu dan kemudiannya, bersetuju dengan tertuduh dalam transaksi ini.

"Saya terikat dengan tanggungjawab untuk memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada peringkat yang sesuai pendakwa raya akan memohon secara bertulis mengikut Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memanggil tertuduh, Arul Kanda, memberi keterangan bagi pihak pendakwa.

"Kami akan menyatakan kepada mahkamah berkenaan bahagian ini pada masa yang sesuai," kata Gopal.

Menurut Gopal mahkamah mungkin akan mendengar keterangan daripada saksi terbabit mengenai adanya "kecenderungan yang jelas" untuk memihak kepada tertuduh.

"Bukti mereka adalah perlu bagi mendedahkan kes kami. Kami akan tiba di peringkat tertentu untuk menilai keterangan saksi berkenaan," katanya.

Perbicaraan dijalankan di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Najib didakwa mengnarahkan supaya laporan tersebut - yang disiapkan untuk dibentang kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyiasat skandal 1MDB.

Najib dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM. Jika disabitkan kesalahan anak bekas perdana menteri kedua Malaysia itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM10,000.

Arul Kanda juga boleh dihukum sama seperti Najib jika didapati bersalah oleh mahkamah.

Selain Arul Kanda, antara saksi yang turut disenaraikan oleh pihak pendakwaan ialah:

  • Hasan Ariffin (ahli palimen Rompin, bekas pengerusi PAC)
  • Nur Jazlan Mohamed (bekas ahli parlimen Pulai)
  • Roosme Hamzah (Setiausaha Dewan Rakyat)
  • Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas CEO 1MDB)
  • Ambrin Buang (bekas Ketua Audit Negara);
  • Ali Hamsa (bekas Ketua Setiausaha Negara)
  • Shukry Mohd Salleh (bekas setiausaha sulit Najib)
  • Dzulkifli Ahmad (bekas ketua pesuruhjaya SPRM)
  • Tong Kooi Ong (Pengerusi Edge Media Group) dan
  • Dr Madinah Mohamad (bekas Ketua Audit Negara)
Lihat Komen
ADS