Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pascakebenaran (post-truth) adalah satu konsep dalam falsafah politik yang merujuk kepada penghakisan piawai atau garis panduan masyarakat mengenai suatu kebenaran.

Istilah tersebut mula mendapat perhatian dunia apabila kamus Oxford menobatkannya sebagai istilah paling popular pada tahun 2016.

Penobatan itu berdasarkan jumlah kekerapan ia digunakan di dunia seiring dengan hangatnya perdebatan di arena politik global pada tahun tersebut.

Malah ada antara tokoh-tokoh akademik dan kewartawanan menjangkakan bahawa istilah tersebut akan terus popular pada tahun-tahun berikutnya.

Konsep ini boleh didefinasikan sebagai satu keadaan apabila emosi dan kepercayaan peribadi dianggap lebih tinggi jika dibandingkan dengan fakta dan data yang objektif dalam usaha mencari kebenaran.

Dalam erti kata yang lain, seseorang itu akan cenderung mempercayai apa yang mahu dipercayainya sahaja meskipun tanpa bukti yang kukuh.

Keadaan ini boleh berlaku disebabkan pemberitaan yang sengaja dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu demi kepentingan mereka masing-masing.

Post-truth ini tentu sekali bertentangan dengan kaedah penyelidikan saintifik yang konvensional yang pengalaman empirikal yang selama ini dianggap pedoman ilmiah telah dipertikaikan malah dinafikan kebenarannya.

Oleh yang demikian, kebenaran menurut post-truth ini tidak lagi bersifat hakiki akan tetapi relatif.

Pada tahun 2016, ada dua peristiwa yang memicu berkembangnya post-truth di seluruh dunia iaitu Referendum Brexit pada 23 Jun 2016 dan kempen politik Donald Trump sebagai calon presiden Amerika Syarikat (Julai-November 2016).

Dalam kes Brexit, negara Inggeris berhadapan krisis apabila keputusan referendum beberapa kali ditangguh apabila terdapat kekeliruan dalam kalangan rakyatnya.

Fakta lawan teori konspirasi

Kekeliruan ini disebabkan oleh keengganan pihak kerajaannya mendengar pandangan pakar-pakar sebaliknya tetap dengan fakta dan data yang kebanyakannya dicedok daripada teori konspirasi.

Di Amerika Syarikat pula, Donald Trump dengan sengaja memanipulasi fakta sehingga berlakunya perpecahan ketara di kalangan rakyatnya.

Trump tetap dengan pendiriannya terhadap dakwaan kononnya para pendatang Muslim dan Mexico mengancam kewujudan negara Uncle Sam tersebut meskipun tahu hakikat bahawa segala fakta yang diselewengkan itu adalah tidak benar.

Dalam konteks negara Malaysia, terdapat beberapa cubaan untuk ‘mensucikan’ figura-figura politik tertentu yang sebelumnya terpalit dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Apa yang lebih menyedihkan para simpatisan berupaya mengangkat ‘tokoh-tokoh’ tersebut dengan gelaran Bossku.

Dengan berbekalkan slogan “Malu Apa Bossku”, para simpatisan ini tanpa segan silu mempertahankan ketua mereka walaupun tanpa alasan yang kukuh.

Antara pencapaian mereka adalah keupayaan mereka mempengaruhi pemikiran rakyat melalui penyebaran berita palsu yang sengaja diulang-ulang.

Sebagai contoh, manifesto PH sengaja ditokok tambah untuk menampakkan kepada rakyat bahawa kerajaan PH gagal secara keseluruhan dalam menunaikan janjinya kepada rakyat.

Kebatilan ini sengaja dimain beberapa kali dan pada akhirnya sokongan rakyat mulai berkurang kepada kerajaan.

Sedangkan pada kenyataannya, kerajaan PH hanya gagal dalam melaksanakan janji 100 hari disebabkan kekangan-kekangan berpunca daripada kerajaan terdahulu.

Malahan, kerajaan PH sudah pun berjaya menunaikan 52 peratus daripada janji manifestonya.

Kegagalan PH mempertahankan kerusinya pada PRK Tanjung Piai yang lepas membuka mata banyak pihak bahawa senjata post-truth sedang dimanfaatkan oleh pihak tertentu untuk berkuasa.

Berbohong itu tak lagi produktif...

Oleh demikian, beberapa saranan telah dikenal pasti untuk membantu kerajaan dalam mendepani fenomena post-truth adalah seperti berikut:

1. Menaiktaraf teknologi untuk pengesahan fakta (fact checking) di sosial media. Sebagai contoh, pihak kerajaan Jerman melalui kerjasamanya dengan pihak Facebook akan memperkenalkan fake news filtering tool untuk melawan berita palsu.

2. Mengangkat komuniti saintis dan akademik ke media arus perdana dan melibatkan mereka secara langsung di dalam proses pembuatan dasar kerajaan. Di UK, negara itu telah mempergiat usaha melibatkan saintis dalam proses pembuatan dasar melalui pembentangan hasil kajian tentang maklum balas rakyat di parlimen.

3. Respons yang lebih giat daripada kerajaan diperlukan untuk melawan fenomena post-truth. Ambil contoh negara Republik Czech, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk mengawal berita palsu.

4. Kemampuan kerajaan menyediakan kandungan-kandungan media yang menarik bagi tujuan penyampaian informasi tentang dasar-dasarnya kepada rakyat.

Sebagai kesimpulan, fenomena post-truth sudah tidak asing lagi dan menyebabkan berlakunya pergolakan di belahan dunia yang lain.

Maka dari itu, parti-parti komponen haruslah berwaspada dan mampu memberi respons dengan kadar segera jika terdapat berita-berita yang mencurigakan.

Hal ini diyakini pada akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia jika kerajaan komited dalam menangani isu tersebut.

Akhir kata, penulis ingin menyudahi artikel ini dengan memetik kata-kata daripada Hannah Arendt melalui karyanya Crises of the Republic: Lying in Politics; Civil Disobedience; On Violence; Thoughts on Politics and Revolution (1972) seperti berikut:

"Akan tiba masanya nanti apabila perbuatan berbohong itu tidak lagi produktif. Keadaan ini terjadi apabila pihak yang dibohongi tidak lagi menghiraukan kebenaran atau pembohongan.

“Kebenaran atau pembohongan itu tidak lagi dipedulikan apabila reaksi terhadap kebenaran atau pembohongan itu sama sahaja. Pencarian kebenaran itu tidak lagi punya erti di dalam masyarakat.”


ARIEF IZUADIN AHMAD JEFFERI
Biro Penerangan AMK Wilayah Persekutuan

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS