Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 Julai depan bagi mendengar permohonan syarikat perunding pelaburan ECM Libra Bhd untuk mendapatkan perintah menghalang Naib Presiden PAS, Husam Musa daripada menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah syarikat berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi Tee Ah Sing menetapkan tarikh itu dalam kamarnya hari ini bagi membolehkan kedua-dua pihak menyediakan dan menjawab afidavit dalam permohonan injunksi oleh ECM itu.

Pada 1 Januari lalu, ECM memfailkan saman terhadap Husam sebagai defendan pertama dan penerbit Harakah Daily, Edisi Prima Sdn Bhd, sebagai defendan kedua.

Dalam saman dan tuntutan itu, ECM mendakwa defendan menyiarkan artikel bertajuk "Bagaimana Khairy Membeli Saham ECM Libra" di lamanweb Harakah Daily pada 29 Disember tahun lalu dan pernyataan dalam artikel itu membawa maksud ia memberikan saham kepada Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sebagai balasan untuk mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada Menteri Kewangan bagi penjualan Pantai Holdings Berhad.

Menurut laporan Bernama, ECM turut mendakwa secara alternatif, artikel itu juga membawa maksud plaintif (ECM) membayar Khairy sejumlah komisen untuk memperolehi kelulusan bagi penjualan Pantai Holdings.

Selanjutnya dalam tuntutan itu ECM mendakwa artikel berkenaan juga membawa maksud bahawa syarikat mereka menerima suatu yuran hasil daripada penjualan Pantai Holdings dan membahagikannya kepada pemegang saham yang lain termasuk Khairy.

Dakwa ECM lagi, mereka turut dikatakan terbabit dalam memujuk Kementerian Kewangan untuk bersetuju dengan penjualan Pantai Holdings yang membolehkan 31 peratus saham syarikat Pantai Holdings dijual kepada syarikat Singapura.

ECM mendakwa perkataan dalam artikel itu adalah tidak benar, tidak berasas serta menjatuhkan reputasi dan imej syarikat mereka di kalangan masyarakat umum.