Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Zahid: Saksi tak setuju maksud 'kebajikan' dicadangkan peguam

Saksi pertama perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, tidak bersetuju dengan konsep “kebajikan” yang cuba dicadangkan oleh pasukan pembelaan.

Dalam perbicaraan melibatkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bermula hari ini, saksi pertama, pegawai eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pinny Asnan, membacakan keterangan bertulisnya di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam sesi soal balas, peguam bela Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal bertanya Pinny tentang keterangan bertulisnya berhubung syarat penubuhan Yayasan Akalbudi (ketika itu dikenali sebagai Yayasan Budi) adalah untuk “menganjurkan tujuan-tujuan khairat atau berguna yang dinyatakan dalam tatawujud persatuan yayasan tersebut”.

Hal itu dinyatakan dalam keterangan bertulis Pinny yang merujuk Borang 15, Lesen di bawah Seksyen 24 (1) Akta Syarikat 1965, yang menyatakan Yayasan Budi ditubuhkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan dengan beberapa syarat.

Zaidi: Puan Pinny tahu tak khairat berasal dari perkataaan Arab ‘khair’, bermaksud kebaikan?

Pinny: Tak tahu.

Justeru, selepas itu, Zaidi cuba mencadangkan kepada Pinny bahawa perkataan khairat itu turut bermaksud segala “sedekah, amal jariah, wakaf, infak, dan apa-apa sahaja tujuan melibatkan kebaikan dan kebajikan”.

Pinny: Saya hanya setuju dengan kebajikan.

Zaidi: Yang lain-lain kebaikan itu (selain kebajikan)?

Pinny: Yang bermotifkan kebajikan, ya, saya setuju.

Selain ditubuhkan bagi tujuan khairat, kata Pinny dalam keterangan bertulisnya, yayasan itu juga bercadang “menggunakan semua keuntungannya dan lain-lain pendapatan untuk menganjurkan tujuan-tujuan khairat dan berguna yayasan tersebut”.

Bagaimanapun, yayasan tersebut “adalah dilarang oleh perlembagaannya dari membayar apa-apa dividen kepada ahli-ahlinya”.

Zaidi turut memetik satu perenggan dalam Memorandum dan Perkara untuk Persatuan Yayasan Akalbudi yang menyatakan salah satu objektif penubuhannya adalah untuk “menerima stok atau saham, debentur, debentur gadai janji atau sekuriti (cagaran) dari mana-mana syarikat, perbadanan, atau persatuan [...]”.

Zaidi: Kalau mana-mana syarikat memberikan satu jaminan atau sekuriti, contohnya kalau yayasan beri sesuatu kepada satu syarikat, dan syarikat itu akan bagi sesuatu pulangan kepada yayasan, adakan itu termasuk dalam sekuriti?

Pinny: Tak.

Zaidi: Apakah maksudnya?

Pinny: Yayasan tak boleh dapat pulangan semula. [...]

Dia boleh terima, tapi dia tak boleh dapat pulangan semula, ini konsep yayasan.

Zaidi: Maksudnya, kalau yayasan bagi sesuatu, dia tak boleh terima balik dalam apa-apa bentuk sekalipun? Begitu fahaman Puan Pinny?

Pinny: Ya.

Sesi soal balas turut dilakukan oleh seorang lagi peguam bela Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, sementara pasukan pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya Leng Keng Fatt.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT), lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana yayasan itu.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid dituduh menyeleweng kira-kira RM31 juta dana milik Yayasan Akalbudi, yang sepatutnya digunakan bagi membantu golongan miskin dan memerlukan.

Bagi pertuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid dituduh menerima RM17 juta dan RM4.25 juta selaku menteri dalam negeri, masing-masing sebagai balasan memberikan kontrak kepada beberapa syarikat berbeza dan menganugerahkan projek MyEG.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram pula, Ahmad Zahid dituduh menerima cek dianggarkan bernilai RM65 juta yang kemudiannya didepositkan ke dalam akaunnya, sebelum digunakan untuk membeli dua unit banglo bernilai RM5.9 juta.

Ahmad Zahid didakwa dengan pertuduhan-pertuduhan tersebut pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari tahun ini.

Pertuduhan-pertuduhan tersebut dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (CBT), Seksyen 16 (1)(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019 (rasuah), dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfapua).

Perbicaraan bersambung esok.
Lihat Komen
ADS