Gerbang Perdana diberi projek RM250 juta bina jalan baru hubungkan KIK
Selepas kerajaan membatalkan pembinaan jambatan indah, kontraktornya, Gerbang Perdana Sdn Bhd diberikan kontrak bernilai RM250 juta untuk membina jalan baru lapan lorong menghubungkan kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Johor Bahru.
Selepas kerajaan membatalkan pembinaan jambatan indah, kontraktornya, Gerbang Perdana Sdn Bhd diberikan kontrak bernilai RM250 juta untuk membina jalan baru lapan lorong menghubungkan kedua-dua Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) di Johor Bahru.
Kontrak tersebut juga membabitkan pembinaan dua jejambat termasuk jejambat tiga aras di Tanjung Putri bagi menggantikan jejambat sedia ada.
Kompleks CIQ yang baru di Bukit Chagar dijangka siap September ini yang juga dibina Gerbang Perdana.
"Projek itu telah diberikan kepada Gerbang Perdana. Saya telah bermesyuarat dengan pihak kontraktor semalam dan meminta mereka memulakan kerja dengan segera," kata Menteri Kerja Raya, Datuk S Samy Vellu.
Bercakap kepada media selepas majlis penyerahan cek pinjaman pendidikan kepada 406 pelajar bernilai RM2.9 juta oleh Malaysian Institute of Education Development (MIED) di Kuala Lumpur hari ini. Samy berkata Gerbang Perdana juga diarah merobohkan sebarang struktur berkaitan pembinaan jambatan indah.
"Kita akan membersihkan kawasan CIQ terbabit dan apabila jambatan dan laluan itu siap, kita akan membuat lanskap di kawasan itu agar ia cantik dilihat oleh pelancong yang memasuki Malaysia," kata Samy Vellu.
Bayaran pampasan
Menurut laporan Bernama, Samy berkata, kerajaan belum lagi memutuskan mengenai pembayaran pampasan kepada Gerbang Perdana ekoran pembatalan projek pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang berusia 80 tahun.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kerajaan akan membayar pampasan RM100 juta kepada Gerbang Perdana berikutan keputusan kabinet minggu lalu menghentikan pembinaan jambatan itu.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata sebuah jabatan baru akan ditubuhkan di bawah Kementerian Kerja Raya bagi memantau dan menyelenggara aset kerajaan termasuk bangunan.
Dengan penubuhan jabatan itu, katanya, bangunan kerajaan akan diselenggarakan dengan lebih berkesan dan kerajaan akan dapat menjimatkan daripada kos pembaikan yang besar.
Jabatan itu akan ditubuhkan secepat mungkin dan tugas pertamanya adalah mengumpulkan semua maklumat berhubung aset kerajaan dan mengenal pasti bangunan lama yang memerlukan perhatian segera, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.