Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Batu: Tian Chua tak terlibat gesaan letak jawatan

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata Naib Presiden PKR Tian Chuan tiada kaitan dengan gesaan terhadapnya untuk meletakkan jawatan.

"Saya percaya Tian Chua tiada kaitan. Dia bukan dalang. Dia seorang budiman (gentleman)," katanya kepada Malaysiakini.

Prabakaran berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan beberapa NGO yang menggesanya mengosongkan kerusi parlimen Batu bagi memberi peluang kepada Tian Chua untuk bertanding.

Tambah Prabakaran, hubungannya dengan Tian Chua kekal baik dan dia menghormati pemimpin beteran PKR itu.

"Tiada masalah pun. Hubungan saya dengan beliau kekal baik. Walaupun kami jarang berbincang, ia tidak menjadi masalah. Saya sentiasa hormat dia sebagai ahli politik veteran di PKR," tambah Prabakaran.

Pada 6 Nov lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Tian Chua layak bertanding pada pilihan raya umum (PRU) yang diadakan pada 9 Mei tahun lalu.

Selepas Tian Chua hilang kelayakan bertanding, PH pada masa itu mengiktiraf pencalonan Prabakaran sebagai calon bebas.

Prabakaran kemudiannya menyertai PKR tidak lama selepas memenangi kerusi berkenaan.

Akhbar Berita Harian pada 13 Nov melaporkan bahawa gabungan 14 NGO di Batu menggesa Prabakaran meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.

Keesokannya, Tian Chua menafikan sebarang penglibatan berhubung gesaan 14 NGO berkenaan.

Bagaimanapun, beberapa NGO disebut sebagai menggesa Prabakaran, menafikan kenyataan tersebut.

Prabakaran tidak menolak kemungkinan ada pihak cuba mengadakan perselisihan faham antara beliau dengan Tian Chua.

"Tapi, mungkin ada pihak cuba buat sesuatu antara saya dengan Tian Chua. Mereka ini ada kepentingan sendiri buat semua ini," katanya sebelum mengulangi pendiriannya untuk meneruskan tugas sebagai ahli parlimen Batu.

Sementara itu, Prabakaran juga menafikan laporan yang mendakwa dia menghabiskan peruntukan berjumlah RM1.5 juta dalam masa singkat.

"Saya masih ada baki. Tidak benar saya habiskan dalam masa yang singkat.

"Tapi, ini sudah bulan November, takkan saya nak simpan lagi (simpan peruntukan yang tinggi)," jelasnya.

"Yang kata saya habiskan dalam masa singkat sila datang ke pejabat saya. Saya sedia tunjuk agihan peruntukan," tambahnya.

Lihat Komen
ADS