Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumpa Azmin untuk bincang dasar ekonomi, kata MP PKR

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata pertemuan antara ahli parlimen PKR dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali petang tadi di parlimen hanyalah bagi membincangkan dasar ekonomi negara.

Maria merupakan antara ahli parlimen PKR yang hadir perjumpaan itu.

"Kami hanya mengadakan perbincangan biasa mengenai dasar ekonomi, tidak berkaitan dengan dengan PKR.

"Dasar ekonomi bukan politik? Tentu saja, ia adalah politik, tetapi bukan mengenai parti.

"Takkan kami tidak boleh bercakap dengan menteri ekonomi tanpa digembar-gemburkan? Cuma ia berlangsung selepas perjumpaan (Azmin dan ahli parlimen BN) malam tadi. Tetapi saya tidak ada di sana (di kediaman Azmin malam tadi)," kata Maria kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Perjumpaan antara Azmin dan ahli parlimen PKR hari ini diadakan di bangunan sementara parlimen.

Selain Maria, Malaysiakini juga melihat Ahli Parlimen Nibong Tebal Mansor Othman, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin, Ahli Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (Ahli Parlimen Ampang).

Perjumpaan itu berlangsung kurang dari 24 jam selepas Azmin bertemu dengan lebih 20 anggota Parlimen BN, termasuk bekas naib presiden Umno, Hishammuddin Hussein, di kediamannya di Putrajaya malam tadi.

Perjumpaan Azmin semalam menimbulkan kontroversi susulan ia diadakan selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai pada hari Sabtu, yang menyebabkan beberapa pihak menuding jari kepada kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Timbul speklulasi sebelum ini yang mengatakan bahawa Dr Mahathir cenderung memilih Azmin untuk menggantikannya sebagai perdana menteri meskipun Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar berulang-kali memberi jaminan bahawa pelan peralihan kuasa akan diteruskan seperti yang dirancang.

Sebelum ini, sekretariat Pakatan Harapan juga menuduh Hishammuddin cuba membentuk kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah. Hishammuddin bagaimanapun menafikan tuduhan itu.

Azmin sebelum ini berkata perjumpaannya dengan wakil rakyat pembangkang semalam hanya perjumpaan biasa dan beliau "tidak ingat" pihak yang memanggil mesyuarat itu.

"Ini mesyuarat biasa. Tidak ada perkara yang luar biasa. Ini mesyuarat biasa dan saya ambil sikap terbuka. Mana-mana pihak yang ingin bertemu dengan saya, saya akan bertemu," kata Azmin.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula mendakwa bahawa ahli parlimen Umno berjumpa dengan Azmin untuk membincangkan penyaluran projek-projek kerajaan untuk kawasan mereka.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS