Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang pemimpin PKR Sarawak malam ini mendakwa sebahagian besar ketua cabang parti itu di negeri terbabit mahu Anwar Ibrahim menggantikan pengerusi mereka, Baru Bian.

Desakan berkenaan dibuat beberapa jam selepas pejabat Baru menyatakan Menteri Kerja Raya itu akan mengadakan sidang media di Kuala Lumpur esok.

Dalam kenyataannya, Ketua PKR Selangau, Joshua Jabeng, mendakwa gesaan itu disokong 18 daripada 31 cabang parti dan mereka menyatakan hasrat tersebut melalui perakuan bersumpah yang ditandatangani mereka.

Joshua bagaimanapun enggan menamakan mereka atau menunjukkan dokumen tersebut apabila diminta berbuat demikian.

Pegawai khas Baru, Vernon Kedit, yang dihubungi pula meragui angka didakwa Joshua dan hal itu, katanya, akan didedahkan lebih lanjut esok.

Untuk rekod, Baru yang juga Menteri Kerja Raya adalah penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

"Kami mengangkat sumpah. Ini menunjukkan bahawa kami benar-benar serius dan jujur kerana tahu apa yang kami lakukan adalah betul," kata Joshua ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Joshua, Baru perlu digugurkan daripada jawatan pengerusi PKR Sarawak kerana beliau mempunyai banyak jawatan. Selain menjadi menteri, katanya, Baru juga adalah Adun Ba'Kelalan, ahli parlimen Selangau dan pengerusi PKR negeri.

Baru jelaskan esok

Keadaan itu, dakwa Joshua, menyebabkan Baru gagal menjalankan tugasnya sebagai ketua PKR bagi negeri berkenaan dengan berkesan.

"Baru patut digugurkan jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri agar bebanannya dikurangkan dan beliau dapat memberi tumpuan kepada kementerianya.

"PKR Sarawak memerlukan seorang tokoh yang mampu memimpin dan meluangkan lebih masa terlibat dengan semua pemimpin cabang, terutama ketika pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung tidak lama lagi," katanya.

Untuk mengukuhkan desakan itu Joshua berkata, Baru gagal membuat persediaan menghadapi PRN walaupun arahan mengenainya sudah diberikan Anwar sejak April lalu.

Joshua merupakan seorang daripada pemimpin PKR Sarawak yang tidak bersetuju dengan keputusan Baru untuk membatalkan konvensyen parti itu yang sepatutnya diadakan di Miri pada 23 Nov ini.

Anwar selaku presiden PKR sepatutnya hadir untuk merasmikannya.

Joshua juga mendakwa sebelum ini dia pernah menjadi penyokong Baru namun berubah pendirian selepas menteri terbabit memberi sokongan terbuka kepada Azmin.

Katanya, Azmin mencipta pelbagai halangan bagi menghalang Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.

"Kesungguhan Baru menyokong kumpulan pemberontak membuatkan saya sedar, jika saya mahu terus berada dalam PKR, saya mahu bersama presiden, bukan dengan timbalan presiden," katanya.

Joshua juga memberitahu Azmin sepatutnya meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.

Mengenai perakuan bersumpah itu, Joshua berkata, ia akan diserahkan kepada Anwar dan terserah kepada pemimpin terbabit untuk membuat keputusan mengenainya.

"Itu adalah rekod untuk presiden tahu bagaimana keikhlasan kami. Kami perlu menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bagi," katanya.

Sumber pula memberitahu Malaysiakini, kumpulan Joshua tidak memberikan cadangan sebarang nama untuk dipertimbangkan Anwar bagi mengambil tempat Baru.

Sementara itu Baru berkata beliau akan mengadakan sidang media di Kuala Lumpur esok.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan ulasan berhubung desakan dibuat Joshua.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS