Kenyataan DAP Msia bukan negara Islam kecohkan dewan
Dakwaan seorang ahli Parlimen DAP bahawa Malaysia bukan negara Islam di Dewan Rakyat semalam, sekali lagi mencetuskan perang mulut antaranya dengan penyokong kerajaan.
Dakwaan seorang ahli Parlimen DAP bahawa Malaysia bukan negara Islam di Dewan Rakyat semalam, sekali lagi mencetuskan perang mulut antaranya dengan penyokong kerajaan.
Sambil menganggap tindakan DAP itu sebagai biadap dan samseng, Datuk Badruddin Amiruldin (BN-Jerai) memberi amaran kepada parti pembangkang itu supaya tidak sekali-kali menyentuh mengenai agama Islam.
Perang mulut antara penyokong kerajaan dan DAP itu bermula apabila Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) yang mencelah penggulungan usul Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Ting bagi meminta penjelasan mengenai isu kurang sopan bercium di khalayak ramai.
Fong memetik kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustapa Abdul Rahman dan Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria semalam mengenai tindakan sama rata terhadap mereka yang melakukan perbuatan kurang sopan di khalayak awam.
"Jakim dan Mufti Perak kata pasangan Islam dan bukan Islam tidak boleh bercium di khalayak awam dan di taman, jadi apa pandangan Menteri berhubung perkara ini," katanya.
Menurut laporan Bernama, ini menyebabkan Badruddin bangun dan dengan lantang menyuruh Fong supaya jangan mempersoalkan Jakim dan juga undang-undang berkaitan dengan Islam.
"Tiada kompromi dalam Islam, ini biar Jakim komen, orang bukan Islam jangan komen pasal Islam, ini negara Islam," katanya.
Tinggi suara
Kesungguhan anggota Parlimen Jerai mempertahankan Islam itu turut menyebabkan cermin mata yang dipakainya terjatuh ke lantai.
Fong tetap mempertahankan hujahnya dengan meninggikan suara dan berkata: "Negara ini ada pelbagai kaum dan agama...negara ini bukan Islam."
Badruddin terus menjerit meminta jangan dibahaskan lagi mengenai Islam.
Ketika itu beberapa anggota parlimen Barisan Nasional turut campurtangan dengan meminta pembangkang jangan mempersoalkan mengenai agama Islam, menyebabkan keadaan menjadi riuh rendah dengan suara anggota Parlimen yang bercakap serentak mempertahankan hujah masing-masing.
Keadaan itu menyebabkan Timbalan Speaker Datuk Lim Si Cheng campurtangan dengan meminta anggota dewan supaya duduk dan menghentikan perang mulut itu.
"Yang Berhormat... duduklah, cukuplah Yang Berhormat, Menteri boleh sambung jawab," katanya.
Bagaimanapun, permintaan Lim tidak diendahkan menyebabkan beliau menutup mikrofon anggota dewan yang lain bagi membolehkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan meneruskan penggulungan bagi pihak kementerian itu.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.