Asean kecewa, Myanmar tidak mahu didesak laksana demokrasi
Suasana kecewa dan hampa menyelubungi mesyuarat Menteri Luar Asean yang berakhir di Denpasar, Bali semalam apabila Myanmar menyatakan ia tidak mahu didesak melaksanakan demokrasi, tetapi mahu melakukannya mengikut caranya sendiri.
Suasana kecewa dan hampa menyelubungi mesyuarat Menteri Luar Asean yang berakhir di Denpasar, Bali semalam apabila Myanmar menyatakan ia tidak mahu didesak melaksanakan demokrasi, tetapi mahu melakukannya mengikut caranya sendiri.
Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata Myanmar memberitahu anggota lain Asean bahawa ia mahu mereka membantunya dalam proses demokrasi di negara itu, tetapi tidak memberikan sebarang komitmen di pihaknya.
"Saya dapat rasakan rasa kecewa dan hampa di kalangan Menteri-menteri Luar Asean. Kami memberitahu Myanmar `anda bercakap mengenai kami membantu anda tetapi bagaimana kami dapat lakukan apabila anda tidak memberikan sebarang cara," katanya kepada pemberita Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanahair.
Menurut laporan Bernama, Syed Hamid, yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Asean, berkata Asean tidak akan berputus asa terhadap Myanmar.
Beliau berkata Asean masih mahu melibatkan diri dengan Myanmar secara positif walaupun ada negara anggota percaya Asean sepatutnya meminggirkan Myanmar kerana isu itu mengambil terlalu banyak masa perkumpulan berkenaan tanpa sebarang hasil.
'Mestu jumpa Suu Kyi'
Syed Hamid, yang juga Wakil Khas Asean ke Myanmar, berkata Myanmar bertanyakan kepada beliau sama ada beliau ingin melawat negara itu sekali lagi untuk membantu proses demokrasinya.
"Saya beritahu Myanmar saya sedia terus berbuat demikian tetapi perlu ada ada sesuatu yang bermanfaat untuk saya pergi ke sana. Ianya okay jika pada lawatan pertama kita tidak mencapai apa-apa pun tetapi perlu mendatangkan faedah kepada saya untuk pergi sekali lagi, saya mesti
dibenarkan untuk berinteraksi dengan orang yang relevan," katanya.
Syed Hamid berkata beliau sepatutnya dibenarkan bertemu dengan orang penting dalam proses itu, seperti Jeneral Kanan Than Shwe dan pemimpin prodemokrasi Aung San Suu Kyi yang masih dikenakan tindakan tahanan di rumah.
"Saya fikir kita mengiktiraf bahawa isu Myanmar telah sedikit sebanyak menjejaskan perpaduan Asean kerana terdapat pandangan berbeza tetapi kita tidak boleh menonjolkannya kepada dunia," katanya.
Katanya mesyuarat menteri-menteri itu yang didominasi isu Myanmar, telah memberikan beberapa cadangan kepada Myanmar, antaranya supaya negara itu mencontohi Indonesia dalam proses mencapai demokrasi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.