Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usul tergempar PAS bahas serangan ke atas Gaza dibahas Isnin depan

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof memberitahu bahawa parlimen akan membahaskan isu serangan di semenanjung Gaza pada Isnin depan berhubung satu usul tergempar oleh ahli parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan Malaysia mengutuk tindakan tentera Israel.

"Saya sebagai Yang Dipertua Dewan meneliti perkara ini (usul) dan mendapati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh ahli parlimen Kota Bharu memenuhi tiga syarat iaitu perkara tertentu, kepentingan orang awam dan perlu disegerakan.

"Di bawah Peraturan Mesyuarat 16.6 usul ini dibahaskan pada hari Isnin 25 November 2019, pada 2.30 petang di kamar khas, saya membenarkan pihak pencadang untuk membahas selama 30 minit dan pihak kerajaan akan menjawab selama 30 minit," katanya.

Terdahulu, Takiyuddin meminta speaker untuk menangguhkan majlis mesyuarat bagi membahas serangan tentera Israel di wilayah semenanjung Gaza.

"Saya ingin mencadangkan supaya majlis mesyuarat ditangguhkan dengan usul yang berbunyi demikian: Bahawa saya ahli parlimen Kota Bharu mohon mencadangkan agar majlis mesyuarat ini ditangguhkan mengikut peraturan mesyuarat 18.1 dan 18.2 peraturan majlis mesyuarat untuk merundingkan berkenaan kecaman terhadap serangan udara yang tidak berperikemanusiaan berterusan oleh tentera zionis Israel ke atas semenanjung Gaza.”

Katanya, usul adalah perkara tertentu iaitu berkaitan serangan udara tentera zionis Israel yang semakin mengganas di wilayah semenanjung Gaza.

"Serangan terbaru yang didalangi oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah menyasarkan pimpinan pihak pentadbir dan rakyat awam di Gaza yang telah setakat ini membunuh 34 nyawa termasuk lapan orang kanak-kanak dan tiga wanita.

"Tahun ini sahaja menunjukkan tentera zionis telah beberapa kali melakukan siri-siri serangan terhadap penduduk Gaza, kekejaman tersebut bukan sahaja bertentangan dengan undang-undang antarabangsa malah mengundang kecaman semua rakyat, malangnya kezaliman tentera zionis terus memuncak meskipun disebalik pelbagai kritikan yang dihalakan ke atas mereka," tambahnya.

Beliau turut mencadangkan supaya majlis mesyuarat ditangguhkan untuk dewan membincang dan membahaskan usul tersebut.

"Ketegasan Malaysia di dalam memperjuangkan hak masyarakat Palestin di peringkat antarabangsa perlu terus disuarakan supaya rejim tidak sewenang-wenangnya meneruskan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

"Oleh sebab itu saya mencadangkan supaya majlis mesyuarat ditangguhkan untuk dewan ini membincang dan membahaskan usul ini dan saya ingin dengan rendah diri yang untuk memohon Yang Berhormat Tan Sri sekiranya menggunakan Peraturan Mesyuarat 90 untuk menjemput salah seorang menteri untuk memberi laluan bagi usul ini dibahaskan di dalam dewan ini bukan di dalam kamar khas," tegas Takiyuddin.

Namun, Mohamad Ariff menjelaskan bahawa usul hanya di kamar khas.

"Saya membenarkan usul ini dibahaskan namun bukan dalam dewan ini tetapi di kamar khas," kata Mohamad Ariff.

Lihat Komen
ADS