Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua ahli parlimen Umno yang berbalas-balas cacian secara terbuka di lobi parlimen hari ini.

Bermula daripada kata-kata marah, keadaan menjadi semakin tegang apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Ismail Mohamed Said menghampiri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak).

Kekecohan itu berlaku apabila Ismail berang gambar ziarah beberapa orang tertentu ke atas anak perempuannya disebarkan Tajuddin.

Menurut Ismail, Tajuddin menggambarkan beliau mengadakan komplot untuk menyokong seorang pemimpin lain sedangkan imej yang dimaksudkan itu cuma lawatan biasa untuk menziarahi anak perempuannya.

"Huh, bangang... Pemimpin Umno, BN (yang dah) lama..." katanya yang kemudian ditenangkan oleh beberapa orang yang ada berhampiran.

Tajuddin kemudian menoleh ke arah Ismail sebelum kedengaran membalas: "Bodoh!"

"You-la bodoh... bodoh la, stupid!" kata Ismail.

Ketika itu beberapa pegawai politik ahli parlimen dan anggota keselamatan mula cuba menenangkan keadaan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

"Gambar anak aku sakit, viral ...." kata Ismail sambil berjalan menghampiri Tajuddin.

Mengaku tak dapat jemputan

Ahli parlimen Pasir Salak itu bagaimanapun tidak menunggu di situ sebaliknya beredar namun terus berkata-kata marah.

"Yelah, gambar apa kena-mengenanya? (Hantar) gambar apa salah? Macam-macam gambar orang hantar," kata Tajuddin.

"You are so stupid-lah," balas Ismail.

Selepas Tajuddin beredar jauh dari situ Ismail kemudian ditanya media mengenai punca beliau tidak puas hati kepada Tajuddin.

Ismail yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat menjelaskan Tajuddin menjadikan gambar lawatan rakan-rakan beliau menemui anak perempuannya sebagai isu.

"Dia kata saya buat pakatan untuk menyokong pemimpin lain... macam mana dia boleh buat macam tu? Tak betul!" katanya.

Bagaimanapun Ismail tidak menjelaskan siapakah "pemimpin lain" yang dimaksudkan itu.

Sementara itu Tajuddin yang ditemui media kemudiannya memberitahu kekecohan berkenaan berpunca daripada salah faham dan tidak ada yang perlu diperbesarkan.

"Hanya salah faham di antara kawan-kawan, itu saja," katanya.

Untuk rekod semalam Tajuddin memberitahu beliau tidak mendapat jemputan untuk menghadiri pertemuan di rumah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, yang diadakan secara tertutup pada kelmarin.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dilaporkan ada lebih 20 ahli parlimen terlibat dalam pertemuan itu, termasuk beberapa daripadanya wakil PKR. Ismail adalah seorang daripada mereka.

Ia mencetuskan spekulasi panas kerana berlaku ketika krisis dalaman PKR semakin memuncak membabitkan dua kem, masing-masing diketuai Azmin dan Anwar Ibrahim.

"Saya tak dijemput. Tak ada siapa suka saya, jadi saya tak dijemput," kata Tajuddin.

Beliau yang baru-baru ini digantung dari Dewan Rakyat turut mengkritik ahli parlimen BN yang menyertai pertemuan tersebut.

"Saya fikir tak patut untuk ahli parlimen Umno pergi ke rumah Azmin tanpa memaklumkannya kepada pemimpin parti dan presiden.

"Kita sudah buat keputusan di peringkat majlis tertinggi bahawa sebarang pertemuan dan perbincangan dengan pihak parti lain perlu mendapat mandat presiden," katanya.

Lihat Komen
ADS