Kerajaan akan menghadapi tekanan untuk menyediakan peruntukan subsidi lebih tinggi tahun ini sekiranya harga minyak terus meningkat di pasaran dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mengakui kenaikan harga minyak di pasaran dunia kini yang mencecah paras US$75 (US$1=RM3.66) setong akan memberikan lebih banyak kesusahan kepada kerajaan.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedang memantau pergerakan harga minyak sebelum mengambil sebarang keputusan untuk "membetulkan" keadaan mana-mana sektor domestik yang mungkin akan terjejas akibat kenaikan tinggi harga komoditi itu.

"Ini adalah satu kesusahan yang besar yang akan dihadapi oleh kerajaan (disebabkan kenaikan tinggi harga minyak di pasaran dunia).

"Saya memahami semasa kita menaikkan harga minyak dulu kita dah kaji sampai akhir tahun (harga minyak) tidak akan dinaikkan lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan lebih 1,000 pegawai kanan kerajaan mengenai pelaksanaan projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) semalam.

Penjimatan subsidi

Menurut laporan Bernama, kerajaan menaikkan harga jualan runcit petrol dan produk petroleum sebanyak 30 sen seliter pada awal Mac dalam usahanya menjimatkan perbelanjaan menyediakan peruntukan kewangan yang tinggi untuk subsidi setiap tahun.

Abdullah berkata jangkaan penjimatan sebanyak RM4 bilion dalam bentuk subsidi daripada kenaikan harga minyak sebelum ini mungkin tidak akan dapat dicapai sekiranya harga minyak dunia terus meningkat.

Perdana Menteri berkata kerajaan tidak akan mengambil langkah sepertimana kerajaan Thailand yang melaksanakan dasar pengukuhan mata wang Baht sebagai strategi mengekang kenaikan kadar inflasi di negara itu.

Thailand mencatatkan peningkatan inflasi yang tinggi iaitu pada kadar 5.7 peratus pada bulan lalu.

Kadar inflasi di Malaysia pada bulan yang sama meningkat 4.8 peratus disebabkan peningkatan dalan kos pengangkutan.