Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR bukan sengaja tak hadir tunjuk sokongan pada MB Perak

PKR menegaskan ketiadaan wakil parti itu semasa Adun dan exco Perak mengadakan sidang media untuk menunjukkan sokongan kepada Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, bukanlah dirancang.

Sebaliknya kata Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, kemungkinan Adun dari parti itu mempunyai tugasan lain dan tidak dimaklumkan mengenai sidang media tersebut.

"Tidak, ia bukan boikot... tak ada begitu," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam sejumlah exco Perak diketuai pengerusi Amanah negeri, Asmuni Awi, memberi jaminan bahawa kerajaan PH di situ masih tetap kukuh walaupun terdapat banyak "fitnah dan khabar angin" serta cubaan menggugat kestabilannya.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas tularnya rakaman video Ahmad Faizal yang mendakwa beliau bersendirian menghadapi DAP.

Tidak lama selepas itu muncul pula klip video lain memaparkan individu yang kelihatan seperti Adun DAP, Dr Aziz Bari, yang menyatakan hasrat untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

Pertama sekali, kata Farhash, dia mendakwa tidak tahu aktiviti harian Adun PKR Perak. Justeru, katanya, dia tidak tahu apa yang berlaku semalam.

"Saya juga tak tahu ada mesyuarat (sidang media)," katanya.

Sementara itu, portal The Star Online melaporkan sebuah NGO dikenali Pro 98 Reformis Perak menggesa Ahmad Faizal meletak jawatan untuk memulihkan keyakinan penyokong PH.

Setiausahanya Sazali Samsudin berkata ramai penyokong PH kecewa dengan kepemimpinan Ahmad Faizal di Perak.

Sazali berkata desakan itu juga bertujuan untuk mengukuhkan PH mendepani pelbagai isu, termasuk dakwaan merogol yang dikenakan pada Adun Tronoh, Paul Yong.

Lihat Komen
ADS