Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar faham, tak perlu terlalu banyak tekanan - Dr M

Selepas menerima beberapa desakan dari pemimpin Pakatan Harapan mengenai tarikh yang jelas bagi peralihan kuasa, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden PKR Anwar Ibrahim memberitahunya supaya perkara itu tidak perlu diperbesarkan.

Dr Mahathir yang diminta mengulas mengenai butiran sewaktu pertemuannya dengan Anwar hari ini berkata bahawa ahli parlimen Port Dickson itu memahami situasi yang dihadapi oleh pemimpin berusia 94 tahun itu.

"Dia kata dia faham masalah yang dihadapi dan tidak perlu terlalu banyak tekanan dengan ramai orang membuat bermacam-macam cadangan seperti tarikh peralihan (kuasa)," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Petang tadi, Anwar melalui hantaran di Facebook beliau berkata mengadakan pertemuan selama 30 minit bersama Mahathir sedia memohon persetujuan beliau untuk mengeluarkan kenyataan berhubung beberapa isu.

Antaranya menyentuh pendirian Mahathir berhubung isu peralihan kuasa.

“Pertamanya, pendirian Tun Dr Mahathir dan saya berhubung isu peralihan kuasa sama sekali tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan dan dijanjikan berulang kali oleh perdana menteri.

"Saya memaklumkan isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama," kata Anwar dalam kenyataan tersebut.

Pada masa sama, Mahathir turut diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di lobi Parlimen hari ini yang mencadangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng perlu menjadi menteri pertama yang disingkirkan dalam rombakan kabinet nanti.

Mahathir bagaimanapun berkata sesiapa pun berhak untuk mengeluarkan pandangan mereka tetapi sebarang keputusan tetap akan diputuskan bersama gabungan parti dalam PH.

"Semua orang boleh nyatakan pandangan mereka tapi saya akan tentukan sama ada ia dipersetujui oleh lima parti dari gabungan kami," katanya.

Semalam, Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa beliau sedia mempertimbangkan untuk membuat perubahan kepada kabinet berikutan kekalahan teruk Pakatan Harapan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai, Sabtu lalu.

Tanpa menyebut sebarang kerangka masa, Mahathir tidak menolak kemungkinan rombakan itu akan dilakukan sebelum sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan dianjurkan oleh Malaysia pada November tahun depan.

Bagaimanapun, Mahathir berkata kerajaan mesti berhati-hati sebelum membuat "perubahan radikal" menjelang acara antarabangsa yang besar dan penting itu.

Susulan kehilangan kerusi Tanjung Piai dengan majoriti lebih 15,000 undi, timbul desakan supaya Mahathir sendiri meletak jawatan dan melepaskan teraju negara kepada Anwar.

Lihat Komen
ADS