Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Shahidan dicabar ulang dakwaan pada DAP di luar parlimen

PARLIMEN | Dewan Rakyat menjadi kecoh seketika selepas Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong mencabar Shahidan Kassim agar mengulangi dakwaan bahawa DAP terlibat dalam penyalahgunaan dana di Bukit Cina, Melaka.

Khoo dan Shahidan mula bertikam lidah selepas MP Arau mencelah bertanya apakah tindakan diambil terhadap dakwaan penyalahgunaan dana Bukit Cina ketika Khoo meminta Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkenaan tindakan terhadap pihak terbabit dalam kegagalan Projek Rumah Prima semasa kerajaan BN ketika sesi pergulungan KPKT.

"Arau apa kena-mengena Bukit Cina dengan kementerian ini?" Soal Khoo dibalas oleh Shahidan: "Ini adalah penyalahgunaan dana oleh kerajaan sekarang."

"Saya nak tanya apakah tindakan di ambil terhadap penyalahgunaan dana Bukit Cina yang dikawal oleh DAP," tambah Shahidan.

Tidak puas dengan Shahidan, Khoo mencabar pemimpin Umno supaya mengulangi dakwaan itu di luar parlimen.

"Saya cabar awak ulang di luar dewan," kata Khoo.

Namun, Shahidan mula menjerit, "saya akan ulang sekarang... saya cabar sekarang!"

Khoo berkali-kali menggesa Shahidan untuk mengulang dakwaan tersebut di luar parlimen, tetapi Shahidan terus menjerit, "saya cabar sekarang di sini!"

Keadaan diredakan oleh Timbalan Speaker Mohd Rashid Hasnon meminta kedua-dua ahli parlimen itu duduk.

Sidang diteruskan dengan ucapan Ahli Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli.

Lihat Komen
ADS