Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Perkenan Sultan Selangor mudahkan pembangunan Kg Baru
Diterbitkan:  Nov 23, 2019 2:14 PM
Dikemaskini: 6:14 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad yakin usaha kerajaan untuk membangunkan Kampung Baru akan lebih mudah selepas rancangan mengenainya mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Tambahan pula, kata Khalid, pemilik tanah di petempatan tersebut menerima tanah berkenaan sebagai anugerah daripada almarhum datuk kepada Sultan Sharafuddin.

Jelas Khalid, pemilik tanah pasti bersedia untuk berbuat demikian selepas perkenan Sultan Selangor.

"Maka dengan sokongan dan perkenan sultan, insya-Allah lebih mudah kita meneruskan dan mendapatkan persetujuan daripada pemilik-pemilik (tanah).

"Mereka yang menjadi pemilik ini semua dapat anugerah tanah ini, sebagai tanah anugerah pada zaman datuk sultan sekarang, iaitu sultan Selangor pada tahun 1900.

"Apabila kita mendapat perkenen Sultan Selangor saya pun rasakan mereka (pemilik) lebih bersedia untuk menerima cadangan kita," katanya dalam satu sidang media di Kelantan, hari ini.

Kelmarin media melaporkan Sultan Sharafuddin memperkenankan cadangan bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Bukan nak halau

Memetik laman sosial Facebook Selangor Royal Office, baginda memberi perkenan Kampung Baru dibangunkan semula seiring dengan kemajuan pesat bandar raya Kuala Lumpur untuk kekal relevan.

"Namun baginda turut menekankan kepentingan susur galur sejarah Kampung Baru dipelihara, termasuk memulihara struktur bangunan ikonik dan mengekalkan nilai-nilai asal kawasan berkenaan," lapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut Khalid berkata, 40 peratus pemilik tanah telah memberi respon yang mana lebih 90 peratus daripadanya bersetuju.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan berdepan cabaran kerana satu lot tanah memiliki puluhan nama yang kadangkala menyukarkan apabila ada segelintir tidak bersetuju.

Khalid berkata, pembangunan semula Kampung Baru bukan untuk menghalau orang Melayu keluar dari ibu kota, sebaliknya meramaikan lagi orang Melayu di Kuala Lumpur.

"Kita hendak ramaikan orang Melayu duduk di situ, nak ramaikan orang Melayu di Kuala Lumpur bukan nak halau (orang Melayu)," katanya.

Lihat Komen
ADS