Mukhriz: Kalau ada rombakan kabinet pun tunggu lepas APEC
Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir berkata sekiranya rombakan kabinet dibuat dalam masa terdekat ia dibimbangi memberi kesan dan menjejaskan persiapan negara selaku tuan rumah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun hadapan.
Mukhriz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa penganalisis politik bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu segera melakukan rombakan Kabinet bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH).
"Memang dia (Dr Mahathir) ada cakap mengenai isu rombakan kabinet tapi itu belum sah lagi dan kalau ada pun akan makan masa dan tunggu habis APEC.
"Tahun hadapan kita banyak kerja kerana jadi tuan rumah, jadi kalau buat perubahan boleh menganggu persediaan untuk APEC," katanya seperti dilapor Bernama.

Mahathir pada 20 Nov lalu dilapor sedia mempertimbangkan rombakan kabinet susulan kekalahan teruk PH pada pilihan raya kecil Tanjung Piai baru-baru ini.
Bagaimanapun rombakan itu hanya akan dilakukan selepas beliau meneliti prestasi menteri pada masa ini.
"Saya sebagai PM bertanggungjawab rombak kabinet dan saya dengar pandangan-pandangan mereka
“Tapi bukan la hari ni bukan esok, tapi setelah kaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini. Lepas itu baru bincang tentang kemungkinan kita adakan rombakan kabinet,” katanya.
'Beri peluang kepada menteri, timbalan'
Sementara itu Mukhriz berkata beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan menteri atau timbalan menteri dari parti itu dalam melaksanakan tugas mereka.
Beliau bagaimanapun mengakui anggota kabinet memerlukan lebih masa untuk menyesuaikan diri.
"Bukan senang untuk seseorang terajui sebuah kementerian kerana mereka perlu tahu selok-beloknya dahulu. Jadi, tempoh setahun lapan bulan ini sangat singkat dan saya bersimpati dengan menteri dan timbalan menteri sekarang kerana sebelum ini mereka bergelar pembangkang.
"Bagi membantu meningkatkan tahap efektif, mereka perlu diberi ruang dan peluang untuk belajar dengan pegawai yang ada bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tepat untuk rakyat," katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Besar Kedah telah merasmikan Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Keusahawanan 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jerlun yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia negeri Dr Salmee Said.
Pada karnival itu, Mukhriz turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 setiap seorang kepada 390 pelajar yang layak memasuki Institut Pengajian Tinggi (IPT).

