Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Johor tekankan tiga perkara kekalkan perpaduan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini menegaskan betapa pentingnya usaha mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini.

Menerusi entri yang dimuat naik dalam laman Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah demikian pada majlis Jamuan Mesra Bersama Rakyat Muar di Sekolah Tinggi Chung Hwa, Muar, hari ini, yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Jamuan berkenaan diadakan bersempena hari ulang tahun keputeraan baginda, semalam.

Dalam titah itu, Sultan Johor menekankan tiga perkara penting, yang pertama adalah menghormati kedaulatan Raja-Raja Melayu yang telah bertolak ansur memberikan kuasa kepada pemimpin yang dipilih rakyat untuk mentadbir kerajaan.

"Kedua, hormati kemuliaan agama Islam yang telah bertolak ansur untuk membenarkan agama lain diamalkan dengan aman.

“Ketiga, hormati keistimewaan orang Melayu yang telah bertolak ansur untuk berkongsi hidup dengan orang lain di tanah Melayu ini,” titah baginda.

Berangkat sama, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Sultan Ibrahim bertitah, ketiga-tiga perkara itu penting serta mesti difahami dan diamalkan oleh setiap rakyat yang mengaku sebagai warganegara Malaysia.

“Sikap tolak ansur yang diamalkan orang Melayu di bawah pemerintahan raja-raja Melayu dibalas dengan sikap hormat-menghormati oleh semua masyarakat berbilang kaum dan agama. Inilah yang membentuk perpaduan rakyat di Malaysia,” titah baginda.

- Bernama

Lihat Komen
ADS