Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua AMK: Jika melampaui batas hadapi lembaga disiplin

Para pemimpin PKR boleh berhujah dan membangkitkan isu tertentu secara umum dan hal itu selaras dengan semangat parti mendukung demokrasi dan berjuang untuk reformasi, kata Ketua Pemuda PKR (AMK) Akmal Nasir.

Tetapi, jelasnya pemimpin PKR jangan melampaui batas atau berhadapan tindakan disiplin.

"Tapi kalau luar keterbatasan, maka kamu perlu bersedia menghadapi lembaga disiplin parti," katanya.

Akmal diminta mengulas nasihat Pengerusi Majlis Presiden PH Dr Mahathir Mohamad semalam yang menggesa anggota PH menyuarakan masalah mereka kepada jawatankuasa parti atau majlis presiden supaya tidak menimbulkan tanggapan buruk daripada rakyat.

Dr Mahathir membuat kenyataan umum tetapi beberapa parti PH menyaksikan berlaku pertelingkahan dalaman.

PKR, terutamanya, sedang bergelut dengan pertempuran antara kem Presiden Anwar Ibrahim dan kumpulan timbalan presiden parti Azmin Ali.

"Parti Keadilan Rakyat, memang kita parti yang reformis, yang demokrasi. Cuma kalau ada kenyataan yang keterlaluan, yang ini jadi tanggungjawab lembaga disiplin untuk buat keputusan atau teliti perkara tersebut," kata Akmal ketika ditemui selepas mesyuarat Pemuda PKR Pusat di Petaling Jaya.

Ditanya jika AMK akan mematuhi saranan Dr Mahathir, Akmal berpendapat para pemimpin perlu mengutamakan untuk menjaga imej parti terlebih dahulu.

"Dari segi nasihat, kalau betul kita sama-sama nak muafakat, kita patut letak segala pandangan itu dan juga mengangkat nama parti dahulu.

"Jadi kalau kita sama-sama nak pertahankan parti, nak pertahankan PH, kita harus berjiwa besar dan hormati proses struktur operasi parti," katanya.

Menurut Akmal, mesyuarat yang dipengerusikannya itu dihadiri 40 perwakilan AMK.

Pertemuan AMK itu, katanya turut membincangkan mesyuarat Majlis Presiden PH semalam mengenai kekalahan PRK Tanjung Piai.

Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham tidak hadir mesyuarat hari ini.

Akmal juga mengulangi kenyataannya bahawa kongres AMK bulan depan akan dirasmikan oleh penasihat PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Untuk rekod, kem Azmin berkata Azmin sepatutnya merasmikan kongres AMK itu kerana menjadi tradisi timbalan presiden parti akan merasmikan kongres pemuda dan wanita PKR.

Bagaimanapun, Akmal menolak perselisihan itu, berkata perkara yang penting bukanlah hal-hal dalaman parti tetapi suara pemuda akan dapat didengar pada kongres AMK itu.

"Ini bukan tentang saya, Hilman atau sebarang individu. Ini tentang parti.

"Maksudnya keputusan yang telah dicapai dalam organisai PKR di pusat dan peringkat sayap, keputusan dibuat dalam majlis pimpinan pusat.

"Tetapi di peringkat kepimpinan, kita nak pastikan agenda anak muda diangkat lebih jauh.

"Matlamat kita jelas untuk pikul amanah bawa suara anak muda ke platform di kongress itu," katanya lagi

Menjelaskan lanjut, AMK melalui kongres akan datang ini mahu menunjukkan PKR parti terkuat dalam gabungan parti pemerintah dan bersedia memberikan komitmen terhadap PH.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS