Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hindraf 2.0: 'Rule of law' Mahathir adalah cakap lain buat lain

Ketua Hindraf 2.0, P Uthayakumar berkata prinsip 'rule of law' (kedaulatan undang-undang) yang dipegang Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad adalah bermaksud "cakap lain, buat lain".

Uthayakumar berkata demikian ketika mengulas isu kewaganegaraan yang dihadapi masyarakat India di negara ini, yang menurutnya dapat diselesaikan oleh Mahathir "dengan satu tandatangan".

"Sangat mudah. Mereka kata dalam masa seratus hari isu kewarganegaraan akan diselesaikan. Dalam penggal pertama parlimen kesemua 526 sekolah Tamil dijadikan sebagai sekolah bantuan penuh dan beberapa perkara lain dalam manifesto khas kaum India sebelum PRU ke-14 oleh PH.

"Jadi, bila kata 'rule of law' (kedaulatan undang-undang), kamu ikut undang-undang tak kira macam mana. Tapi, dia (Mahathir) tidak ikut undang-undang. Bermakna dia tidak maksud begitu (cakap serupa bikin). Sebaliknya, cakap lain buat lain," kata Uthayakumar kepada pemberita di Perhimpunan ulang tahun 12 Perhimpunan Hindraf di Brickfields, hari ini.

Uthayakumar yang juga merupakan seorang peguam menggesa Mahathir dan kerajaan PH memenuhi 25 janji dalam manifesto khas kepada kaum India.

"Mereka janji kepada komuniti India sebelum PRU ke-14. Dengan satu tandatangan Mahathir dan kepimpinan PH boleh menyelesaikan masalah-masalah ini.

"Persoalannya, adakah mereka nak selesaikan semua isu yang dibangkitkan atau nak meneruskan era perkauman seperti Umno?" katanya.

Ketika ditanya adakah Hindraf 2.0 akan terus menekan kerajaan PH supaya memenuhi janji dalam manifesto, Uthayakumar berkata: "Kenapa kamu perlu terus tekan? Bukankah tugas kerajaan memenuhi janji manfifesto. Kamu diberi kuasa. Kamu mempunyai kuasa dan perlu patuh kepada undang-undang."

Terdahulu, hampir 100 orang berkumpul di Brickfields tengah hari tadi, bagi mengingati ulang tahun ke-12 Perhimpunan Hindraf yang menyaksikan hampir 100,000 orang berkumpul di Kuala Lumpur pada 25 November 2007.

"Hari ini kita berkumpul 100 sahaja. Hanya 0.1 peratus daripada 100,000 pada 2007. Ini menunjukkan kerajaan berjaya memecahkan kita. Mereka ada kuasa dan dana. Mereka akan terus pecahkan kita pelbagai tuduhan dan cuba menakutkan kita.

"Namun, hari ini kita di sini nak hantar 'token objection' (bantahan) kita kepada kerajaan PH supaya memenuhi janji seperti dalam manifesto yang dijanjikan oleh mereka sendiri," tambahnya.

Beliau turut berkata tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya di sekitar Brickfields mengakibatkan ramai tidak dapat hadir.

"Mereka bagi permit untuk perhimpunan dalam masa yang sama mengadakan sekatan jalan raya supaya orang tidak dapat masuk," katanya

Uthayakumar berkata, pihaknya akan terus mendidik kaum India untuk mewujudkan kerusi parlimen dan DUN bermajoriti India bagi membawa suara masyarakat India di parlimen dan dewan negeri.

"Ini sahaja cara untuk maju ke depan. Tiada cara lain. Kerana wakil India sekarang tidak berani kerana mereka menang sebab undi Melayu dan Cina. Mereka tidak dapat bersuara demi kaum India di parlimen atau di pucuk pimpinan.

"Kita ada empat menteri. Tapi, mereka tiada kuasa kerana mereka perlu sokongan undi Melayu dan Cina. Jadi, sekarang kita perlu mewujudkan kerusi parlimen majoriti India," katanya.

Antara kerusi parlimen dicadangkan bagi tujuan itu ialah Kulim (Kedah), Prai (Pulau Pinang), Ipoh Barat (Perak), Kota Raja (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Tebrau (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).

"Kita akan mempunyai satu wakil di setiap negeri, jadi kamu (kaum India) akan mempunyai suara di peringkat tertinggi. Kita akan mempunyai wakil untuk bertanya.

"Sebagai contoh setiap hari Rabu ada sesi soalan kepada perdana menteri. Berapa soalan berasaskan (isu masyarakat) India ditanya? Kosong. Sebab, mereka (wakil rakyat sekarang) perlu undi Melayu dan Cina.

"Negara ini semakin menjadi rasis. Ini adalah fakta sama ada kamu terima atau tidak. Kita tidak mempunyai alternatif. Alternatif lain kita harap akan ada pemimpin 'Abraham Lincoln Melayu' menjadi perdana menteri Malaysia," katanya.

Lihat Komen
ADS