Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Terengganu akan teliti Laporan Ketua Audit Negara

Kerajaan Terengganu akan meneliti Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan prestasi kewangan agensi negeri Terengganu tahun 2018.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penelitian laporan yang menyatakan prestasi kewangan kerajaan Terengganu bagi 2018 adalah kurang stabil itu akan dibuat bagi tujuan penambahbaikan.

“Saya tidak ada respons lagi cuma kita akan teliti apa yang dimaksudkan oleh beliau (Ketua Audit Negara Nik Azman Nik Abdul Majid). Sebab kita juga mendapat laporan audit dan pada pandangan kita ia tidak memberi satu keluarbiasaan dari segi audit.

“Tidak ada benda-benda luar jangka dari apa yang kita terima jadi saya rasa kita akan teliti dan ambil langkah untuk pembaikan,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Belanjawan 2020 bagi Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman hari ini.

Nik Azman menerusi Laporan Ketua Audit Negara mengenai penyata kewangan kerajaan negeri dan prestasi kewangan agensi negeri Terengganu tahun 2018 yang dikeluarkan hari ini menyebut prestasi kewangan kerajaan Terengganu bagi 2018 adalah kurang stabil.

Katanya secara keseluruhan, baki Kumpulan Wang Disatukan pada akhir 2018 telah menurun sejumlah RM9.08 juta menjadi RM154.67 juta pada tahun 2018 berbanding RM163.75 juta pada 2017.

Analisis itu berdasarkan kepada Penyata Kedudukan Kewangan, Penyata Penerimaan dan Pembayaran Wang Tunai, Penyata Prestasi Kewangan, Penyata Akaun Memorandum dan Nota Kepada Penyata Kewangan, katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS