Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wee persoal sama ada peruntukan TAR UC diurus oleh alumni pro-Guan Eng
Diterbitkan:  Nov 24, 2019 10:43 PM
Dikemaskini: 2:43 PM

Presiden MCA, Wee Ka Siong mempersoalkan persatuan alumni yang dipilih Menteri Kewangan Lim Guan Eng untuk menguruskan dana amanah RM30 juta untuk pelajar Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC).

Wee, dalam satu kenyataan di Facebook, berkata terdapat lima persatuan alumni sejak tahun 1980 tetapi Lim telah memilih Pertubuhan Alumni Warga KU TAR (TAA), yang ditubuhkan pada 2012.

Menurutnya, persatuan alumni lain termasuk; Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman yang didaftarkan pada 1989 ; Persatuan Alumni Kejuruteraan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman Selangor (TEA), didaftarkan pada tahun 1982 dan kemudiannya ditukarkan kepada nama sekarang pada Julai 2019.

Dua lagi persatuan ialah Persatuan Alumni Sekolah Sastera dan Sains Kolej Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur, (SAS) didaftarkan pada tahun 1982; dan Persatuan Bekas-bekas Penuntut Sek Perdagangan Kolej Tunku Abdul Rahman Kuala Lumpur (SBS), didaftarkan pada tahun 1980.

Kata Wee, TEA, SAS dan SBS juga merupakan ahli Persekutuan Persatuan-persatuan Alumni Kolej Tunku Abdul Rahman.

"Mereka lebih layak untuk dijadikan wakil berbanding TAA. Kenapa pula Lim Guan Eng memperuntukkan dana kepada TAA dan mengenepikan pihak yang lebih wajar bagi mewakili pertubuhan alumni?

"Adakah kerana TAA badan bebas? Atau kerana TAA merupakan organisasi yang condong kepada Lim Guan Eng?" katanya.

Semalam, Lim mengumumkan RM30 juta peruntukan TAR UC melalui dana amanah yang akan diuruskan oleh TAA.

Lim menegaskan bahawa mekanisme itu akan digunakan selagi MCA tidak melepaskan kawalannya terhadap TAR UC.

Dalam Belanjawan 2020, Lim mengurangkan peruntukan untuk TAR UC yang dimiliki MCA daripada RM5.5 juta kepada RM1 juta.

Beliau berkata kerajaan boleh memberi RM30 juta kepada institusi itu jika MCA melepaskan pemilikannya terhadap TAR UC.

Bagaimanapun, selepas kekalahan besar PH dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai, yang menyaksikan ramai pengundi Cina beralih undi daripada PH, Lim memutuskan akan memberi peruntukan itu, tetapi melalui badan amanah.

Wee berkata Yayasan Pendidikan TAR UC (TEF) sedia ada sudah memberikan RM19.26 juta dalam pelbagai biasiswa untuk pelajar TAR UC.

Tambah Wee, jika Lim ikhlas membantu pelajar TAR UC, TEF dapat memudahkan dengan menyediakan senarai nama pelajar TAR UC.

Beliau menambah bahawa RM1,000 daripada dana RM30 juta itu kemudiannya boleh diedarkan terus kepada setiap akaun bank pelajar tanpa melalui pihak ketiga

Lihat Komen
ADS