Terjemahan Pasukan polis dan ahli Parlimen Umno yang membantah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) bukanlah golongan majoriti dan oleh itu, tidak seharusnya menjejaskan komitmen kerajaan untuk menubuhkan badan pemantau tersebut.

Menurut Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, mereka bukan mewakili suara majoriti ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), terutamanya wakil rakyat dari Sabah, Sarawak, serta dari parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC.

Malangnya, kata beliau, tindakan segelintir ahli Parlimen yang kritkal terhadap isu tersebut, telah menyebabkan wakil rakyat BN yang lain terpaksa 'menutup mulut'.

"Dalam hati masing-masing, mereka tahu IPCMC itu baik untuk rakyat, negara dan pasukan polis itu sendiri," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu tegas dalam merealisasikan penubuhan IPCMC dan tidak tunduk kepada tekanan ahli-ahli Parlimen berkenaan.

Mahu jumpa PM

Lim sekali lagi menegaskan bahawa IPCMC bukan isu parti kerana ia membabitkan kepentingan rakyat dan negara untuk mempunyai sebuah pasukan polis yang bersih, tidak rasuah dan sensitif terhadap hak asasi manusia.

Katanya, ia bukan untuk menghina atau merendah-rendahkan polis, tetapi sebaliknya, untuk menambahbaik imej dan kredibiliti pasukan itu supaya mendapat keyakinan awam.

Beliau berkata, jika IPCMC gagal ditubuhkan, ia bermakna usaha menubuhkan Suruhanjaya Diraja Polis hanya sia-sia sahaja dan memberi kesan negatif terhadap program dan ikrar pembaharuan seperti yang diwar-warkan oleh Abdullah.

Lim berkata, beliau telah menghantar faks kepada Abdullah yang juga Meneri Keselamatan Dalam Negeri untuk mengadakan perjumpaan mengenai isu IPCMC itu. Berita asal