Menteri Kewangan Lim Guan Eng menafikan tuduhan bahawa kerajaan pusat terus ‘menganaktirikan’ Pulau Pinang dalam agihan peruntukan pembangunan persekutuan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lim berkata peruntukan persekutuan semasa di bawah pentadbiran BN untuk Pulau Pinang pada tahun 2017 adalah hanya RM547 juta manakala pada tahun 2018, ia berjumlah RM608 juta.

Peruntukan itu, walau bagaimanapun meningkat kepada RM857 juta dan RM980 juta dalam Belanjawan 2019 dan Belanjawan 2020 semasa di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, kata Lim.

“Dakwaan ini membelakangkan fakta dan tidak berasas.

"Sekiranya kita merujuk kepada fakta dan angka dan bukannya kenyataan berunsurkan fitnah dan palsu, peruntukan pembangunan untuk negeri Pulau Pinang sebenarnya telah bertambah dalam belanjawan bawah PH berbanding dengan BN,” katanya.

Lim dipercayai mengulas kenyataan pembangkang yang mendakwa bahawa Pulau Pinang terus ‘dianaktirikan’ oleh kerajaan persekutuan walaupun PH berjaya merampas Putrajaya.

Pada 23 November, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong mendakwa bahawa Lim mengakui peruntukan Pulau Pinang adalah jauh berkurangan berbanding negeri-negeri lain.

Menurut Oh, malah peruntukan kepada Kelantan dan Terengganu jauh melebihi Pulau Pinang.

Beliau berkata, bahawa Kelantan dan Terengganu, yang di bawah pentadbiran PAS masing-masing menerima peruntukan RM1.5 bilion dan 1.2 bilion, manakala Pulau Pinang pula hanya menerima kira-kira RM900 juta.

Oh berkata Sarawak dan Sabah masing-masing menerima RM4.4 bilion dan RM5.2 bilion.

Menurut Lim, kerajaan pusat menghadapi cabaran besar untuk memastikan pengagihan peruntukan kepada semua negeri berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan tidak meneruskan diskriminasi yang diamalkan oleh kerajaan BN terdahulu.

“Oleh itu kerajaan persekutuan cuba membetulkan diskriminasi yang berlaku sebelum ini kepada negeri-negeri ‘pembangkang’ seperti Pulau Pinang, tertakluk kepada kemampuan kedudukan kewangan dan fiskal negara,” katanya.

[Baca berita penuh]