Pegawai JAS dituduh terima rasuah RM7,200
Seorang pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan menerima wang berjumlah RM7,200, tiga tahun lepas.
Shamsul Adli Mohd Ali, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.
Mengikut kertas pendakwaan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai kawalan jabatan itu ketika itu, menerima sejumlah wang menerusi akaun syarikat miliknya daripada seorang individu yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi sebanyak empat kali antara 1 Dis 2016 sehingga 13 Jun 2017.
Sehubungan dengan itu dia didapati melakukan kesalahan yang boleh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ikhwan Ihsan Jalaludin memohon agar mahkamah meletakkan wang jaminan sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguambela tertuduh Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly memohon agar wang jaminan dikurangkan memandangkan Shamsul Adli adalah bapa kepada dua orang anak dan masih menyara keluarganya.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Dis ini untuk sebutan semula kes.
- Bernama

