Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dakwaan pegawai kanan sabotaj: Salahuddin serah pada pihak berkuasa

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Salahuddin Ayub berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dakwaan bahawa pegawai kanan kementerian itu mensabotaj beliau berkaitan isu tender berkaitan padi bernilai RM1.4 bilion.

Menurut Salahuddin beliau bukan individu yang tepat untuk memberikan sebarang respons berhubung dakwaan sabotaj tersebut.

"Saya rasa saya dah jawab secara prinsipal dalam sidang media saya di Pulau Pinang (isu tender). Namun kalau ada reaksi luaran daripada itu (sabotaj menteri), kita serahkan kepada pihak-pihak bertanggungjawab, untuk menyiasat atau memberikan komen.

"Saya bukanlah orang (yang tepat) memberikan respons terhadap apa yang berlaku selepas daripada itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Benih Asia 2019, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal yang memetik dakwaan seorang pemimpin Amanah bahawa pegawai kanan kementerian terbabit melakukan sabotaj berkenaan isu itu.

"(Pegawai kanan itu) bawa naik tender baja tanpa pengetahuan menteri, lepas tu bila dapat ke syarikat Cina, Nafas merayu kepada menteri MOA dan MOF untuk dapatkan tender baja tu kerana jika tak dapat, ia beri kesan besar kepada perjalanan Nafas sebagai induk pertubuhan peladang yang punya 900,000 ahli," kata pemimpin tersebut dalam status Facebook.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mendakwa terdapat cubaan sabotaj dalam kalangan pegawai kementerian dengan menganugerah dan membatalkan tender tanpa pengetahuan Salahuddin.

'Tanya KSN, saya tak bertanggungjawab'

Ditanya berkenaan ketidakhadiran pegawai kanan berkenaan pada program hari ini, Salahuddin berkata "Itu kena tanya JPA. Saya tidak tahu apa-apa tentang itu," katanya.

Salahuddin yang juga Timbalan Pengerusi Amanah menegaskan sebarang tindakan ke atas pegawai kanan terbabit perlu diambil oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

"Perlu tanya KSN. Saya tidak bertanggungjawab," jelasnya ketika ditanya apakah pegawai kanan tersebut perlu digantung tugas berhubung isu tender berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi pegawai kanan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Sementara itu, Salahuddin juga membidas tindakan pembangkang yang cuba memperbesarkan isu itu.

"Itu kerja dia sebagai pembangkang sekarang. Kita dah jelaskan bahawa apa yang berlaku itu masih dalam prosedur yang telah ditetapkan.

"Ini bukan skandal. Skandalnya ialah Tabung Haji, FGV, 1MDB itu skandal. Duit itu masuk dalam akaun peribadi atau masuk dalam akaun siapa.

"Tapi ke mana pergi duit atau bajet RM1.4 bilion? Masih dalam perbendaharaan yang kita yakin diberikan kepada pihak Nafas. itu sahaja. Jadi bukan skandal," tegasnya.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Presiden MCA Dr Wee Ka Siong mendakwa tiga kontrak bernilai lebih RM1 bilion dibatalkan selepas MOA dikatakan mahu menganugerahkan projek kepada Nafas secara rundingan terus.

Menurut Wee, kontrak sebelum itu dibatalkan walaupun sudah diluluskan Lembaga Perolehan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Selain itu Wee turut membangkitkan isu tempahan 38 bilik hotel yang dibuat atas nama Nafas sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Susulan itu, Salahuddin mengaku menulis surat kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk memohon lantikan terus dibuat kepada Nafas pada 7 Nov namun perkara itu masih dalam peringkat perbincangan.

Semalam, bekas perdana menteri Najib Razak menerusi status Facebooknya mendakwa kenyataan bercanggah antara menteri dan timbalan menteri berkaitan isu tender berkenaan.

Najib turut menyatakan rasa hairan dengan kenyataan PH berhubung kelulusan tender yang dikatakan diberi kepada syarikat Cina sedangkan tender tersebut masih belum dianugerahkan.


Lihat Komen
ADS