Terjemahan Matthias Chang, bekas Setiausaha Politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, tetap dengan pendiriannya bahawa Malaysia telah mengambil sikap mengalah selepas Singapura berdolak-dalih dalam siri rundingan berhubung pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Sebaliknya, Chang mendakwa, pada tahun 2001 Singapura telah bersetuju dengan pembinaan jambatan untuk menggantikan Tambak Johor yang sudah berusia 80 tahun itu, tetapi memungkiri perjanjian itu setahun kemudiannya.

Untuk membuktikan dakwaannya itu, Chang menunjukkan sepucuk surat bertarikh 8 September 2001 di mana Menteri Kanan Singapura, Lee Kuan Yew secara jelas, menyatakan persetujuan tersebut, bagi pihak kabinet republik itu, kepada Dr Mahathir.

Surat berkenaan telah diterbitkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Keseniaan Singapura dalam sebuah buku kecil 'Water Talks: If only it could' (2003)' yang ditunjukkan oleh Chang ketika wawancaranya dengan malaysiakini.

Dalam surat tersebut, Lee berkata: "...Saya telah maklumkan kepada Perdana Menteri Goh dan Kabinet mengenai perbincangan kita dan mereka bersetuju pada dasarnya mengenai perjanjian lisan kita itu."

"...Anda (Mahathir) bertanya kepada saya pada akhir perjumpaan tersebut sama ada kerja pembinaan jambatan boleh diteruskan. Saya kata ya, kami tidak mungkin tarik balik tawaran kami."

Singapura tarik balik tawaran

"Seperti yang saya katakan kepada anda, Singapura akan menambak laut di sebelah kami, yang berhampiran dengan sempadan, dan akan membina jambatan di sebelah sempadan kami dan bertemu dengan jambatan dari sebelah Malaysia, di kawasan sempadan," tambah Lee.

"Para pegawai dari Kementerian Pembangunan Negara kami berkata, butiran teknikal terperinci mengenai kontur tambakan laut dan rekabentuk jambatan, dan bagaimana jambatan dari kedua belah (sempadan) akan bertemu, perlu diselesaikan terlebih dahulu.

"Adalah perlu butiran ini diselesaikan sebelum kerja pembinaan jambatan bermula sepertimana ketika kedua belah pihak membina Laluan Kedua atau kedua bahagian (jambatan) tersebut tidak akan bertemu dengan baik di sempadan antarabangsa kita.

"Perbincangan teknikal ini mungkin mengambil masa, jadi saya cadangkan pegawai yang bertanggungjawab terhadap jambatan tersebut dan projek tambakan laut di kedua belah pihak, memulakan lebih awal perbincangan mengenai isu-isu ini. Pegawai kami sudah bersedia untuk bertemu dengan rakan sejawatan dari Malaysia," kata Lee.

Sebelum itu, Chang mendakwa, bekas Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong juga telah bersetuju bahawa Malaysia boleh membina jambatan itu sepertimana yang dinyatakan dalam dua pucuk surat yang turut disiarkan dalam buku kecil yang sama.

Apabila ditanya mengapa Malaysia melewatkan pembinaan jambatan tersebut, Chang berkata, ia kerana Singapura telah mengubah fikiran, yang mana Malaysia masih mempunyai hak untuk meneruskannya.

"Jika Singapura pada awalnya sudah bersetuju jambatan itu dibina seperti yang didedahkan dalam sidang akhbar saya sebelum ini, dan diandaikan Singapura mengubah fikiran, di mana terdapat beberapa surat dan minit mesyuarat bahawa Singapura telah mengubah fikirannya dan tidak bersetuju jambatan itu dibina, Apakah respons Malaysia? Amat mudah, kita hentikan rundingan, bukankah begitu?"

Chang berkata, sebaliknya Malaysia sepatutnya bersemuka dengan Singapura kerana melanggarkan perjanjian awal mereka.

Pasir dan ruang udara

Katanya, kerajaan telah membuat kesilapan apabila berkata Malaysia tidak dapat menerima tuntutan Singapura supaya dibekalkan pasir dan dibenar menggunakan ruang udara, sebagai syarat untuk bersetuju dengan pelaksanaan projek berkenaan.

Chang percaya, perkara seumpama itu termasuk air, kastam, isu tanah KTM sepatutnya dirunding secara berasingan dan tidak dicampuradukkan dengan rundingan lain.

"Apa salah berbuat demikian? Mengapa kita mesti batalkan projek (jambatan) ini? Mengapa kita harus batalkan hak kita sendiri?"

Dalam keadaan sekarang, Chang berkata, kerajaan Malaysia patut merujukkannya kepada penimbangtara atau Mahkamah Kehakiman Antarabangsa (ICJ) untuk menyelesaikan isu jambatan tersebut.

"...langkah merujukkan kepada penimbangtara atau ICJ, tidak bermakna Malaysia dan Singapura berkonfrontasi atau menjadi musuh....Penimbangtara adalah pilihan terbaik untuk mencari penyelesaian terhadap sebarang pertikaian," katanya.

Syed Hamid dibidas lagi

Chang mahu Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar membuat kenyataan terbuka mengenai bilakah beliau dimaklumkan mengenai "komplikasi perundangan" jika jambatan itu dibina di secara sebelah sahaja dan siapakah yang menasihatkannya sedemikian.

"Jika selepas Dr Mahathir bersama, dia (Syed Hamid) mendapatkan penasihat undang-undang baru untuk menasihatkannya bahawa jambatan itu tidak boleh dibina kerana terdapat halangan perundangan, jadi mengapa beliau masih terus (mengadakan rundingan sehinggalah projek itu dibatalkan)?," katanya.

Chang sekali lagi mengulangi pendiriannya bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak harus disalahkan dalam hal ini kerana beliau mendapat nasihat dari Syed Hamid, maka oleh itu, Syed Hamid yang mesti meletakkan jawatan.

"Jika beliau (Syed Hamid) fikir beliau tidak bertanggungjawab terhadap kegagalan itu, maka beliau mesti mendedahkan siapakah di belakang beliau! Siapakah yang memberinya maklumat yang salah? Jika beliau merasakan tidak adil untuk mendesaknya meletak jawatan, maka beliau mesti nyatakan siapakah yang memberinya maklumat atau nasihat yang salah itu. Siapa yang meminta atau mengarah beliau untuk bersikap sebagai ketua perunding, menteri luar dan penasihat?" soal Chang.

"Di Jepun, bila kapal terbang terhempas, menteri pengangkutan letak jawatan. Ia tidak bermakna bila kabinet membuat keputusan sebulat suara, ianya keputusan yang betul. Jika keputusan itu dibuat kerana maklumat tidak cukup atau kabinet telah dikelirukan, sama ada ianya sebulat suara atau tidak, tidak menjadikannya betul," katanya. Berita asal