Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jangan heret Islam dengan fahaman tak berkaitan - PAS
Diterbitkan:  Nov 25, 2019 3:14 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Presiden PAS hari ini sekali lagi menegaskan bahawa Islam tidak boleh disamakan dengan agama dan ideologi lain, walaupun ada titik-titik persamaannya.

Katanya, berbeza dengan perkataaan ‘agama’, ‘religion’ dan perkataan seerti dalam bahasa lain, berdasarkan bahasa Arab yang juga merupakan bahasa Al-Quran, Islam ialah “Al-Din”.

Katanya, Al-Din mempunyai maksud menyeluruh dan sempurna dalam segala aspek kejadian untuk sepanjang zaman, merangkumi manusia atau haiwan berakal yang berjasad, hidup bermasyarakat, berpolitik serta mengalami perubahan dan ditadbir berpandukan hidayah Allah yang dinamakan Islam.

“Maka aspek politik adalah sebahagian daripadanya yang tidak berpisah. Ia sangat berbeza dengan teori yang memisahkan politik daripada agama,” katanya dalam rungan Minda Presiden yang disiarkan HarakahDaily.

Beliau mengulas soalan yang diajukan sesetengah pihak kepadanya tentang mengapa PAS yang dikatakan mendukung politik Islam menggunakan pendekatan dan sikap yang berubah-ubah dalam sesuatu isu, sehingga ada yang menuduhnya tidak istiqamah dan mempermainkan Islam.

Ulasnya, gesaan melakukan kebaikan seperti konsep kebajikan, adil dan hak serta tegahan melakukan kemungkaran seperti konsep rasuah, zalim dan lain-lain, hanya sama dari segi “jenama”, tetapi berbeza secara dasar, roh dan konsepnya antara Islam dengan ajaran bukan Islam.

“[...] jangan sesekali mengheret Islam dengan fahaman yang tiada kaitan dengannya, atau mahu menumpang dan bertopengkan Islam bagi mengelirukan mereka yang benar-benar mahu mencari kebenaran, atau bertujuan jahat bagi merosakkan kemurnian Islam, kerana cahaya Islam tetap tidak mampu dipadamkan dengan segala cara dan penipuan,” tegasnya.

Menurut Abdul Hadi, kini muncul gerakan untuk menyamakan Islam dengan “yang lain” melalui anjuran forum perbandingan agama yang dikatakan ilmiah, tetapi sebenarnya tidak suka kepada pendekatan muzakarah mencari kebenaran.

“[...] mereka tidak suka pendekatan muzakarah mencari kebenaran seperti pendekatan yang dilakukan oleh Dr Zakir Naik kerana takut terbukti kebatilannya terbongkar,” jelasnya lagi.

Justeru katanya, PAS menugaskan Majlis Syura Ulama parti itu untuk mempertahankan dasar dan matlamat perjuangan Islam, dan berijtihad menangani cabaran dan perubahan semasa, dalam masa sama memelihara konsep istiqamah untuk terus memimpin bersama Islam.

“Maka dapat dibuktikan betapa PAS tidak hilang jati diri dengan hilangnya pemimpin atau dirampas kuasa kerajaan dan dilarikan kerusiny,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS