Kedudukan 13 pesuruhjaya Suhakam kini terawang-awang
Tempoh perkhidmatan 13 daripada 16 pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan tamat esok dan mereka belum menerima sebarang khabar dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengenai kedudukan mereka.
Tempoh perkhidmatan 13 daripada 16 pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan tamat esok dan mereka belum menerima sebarang khabar dari Pejabat Timbalan Perdana Menteri mengenai kedudukan mereka.
Bagaimanpun, tempoh pelantikan tiga lagi pesuruhjaya Prof Datuk Dr Khoo Kay Kim, Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan Datuk N.Siva Subramaniam akan berakhir antara Jun dan Julai tahun ini.
"Belum ada sebarang tanda lagi. Pejabat Suhakam belum menerima apa-apa nasihat daripada kerajaan mengenai perkara itu," kata Pengerusi Suhakam Tan Sri Abu Talib Othman kepada Bernama hari ini.
Tempoh pelantikan Abu Talib yang telah berkhidmat selama dua penggal juga tamat esok.
Setakat ini, belum ada sedikit pun tanda-tanda siapa yang akan dilanjut atau ditamatkan tempoh perkhidmatannya, katanya sambil menambah pelantik Pesuruhjaya Suhakam dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.
"Terpulanglah kepada kerajaan untuk membuat keputusan. Saya yakin kerajaan sedar mengenai perkara ini," katanya.
Pejabat tetap beroperasi
Abu Talib berkata sekiranya tiada apa-apa makluman diterima selepas tempoh pelantikan mereka tamat, beliau dan 12 orang lagi tidak lagi dapat berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Suhakam mulai 24 April.
Bagaimanapun, katanya, pejabat Suhakam akan beroperasi seperti biasa.
"Suhakam masih wujud dan pegawai-pegawai kita masih ada. Perkara ini (tamat tempoh pelantikan) tidak akan menjejaskan operasi Suhakam. Ia akan terus beroperasi seperti biasa," katanya.
Selain Abu Talib, mereka yang pelantikannya tamat esok ialah Naib Pengerusi Suhakam Tan Sri Simon Sipaun, Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan, Prof Dr Chiam Heng Keng, Dr Muhammad Hirman Ritom Abdullah, Tan Sri V.R Navaratnam, Datuk Asiah Abu Samah dan Datuk Dr Raj Abdul Karim.
Yang lain ialah Datuk Dr Abdul Monir Yaacob, Datuk Karam Chand Vohrah, Datuk Ranita Mohd Hussein, Datuk Choo Siew Kioh dan Tunku Datuk Nazihah Tunku Mohamed Rus.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.