Naza lancar kereta kompak 1.1 liter baru bernama Sutera
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan kereta kompak 1.1 liter Naza yang baru bernama Sutera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan kereta kompak 1.1 liter Naza yang baru bernama Sutera.
Pelancaran itu dilakukan serentak dengan perasmian pecah tanah kilang automatif kedua Naza Corporation Sdn Bhd (NCSB) di Kepala Batas. Ia turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon.
Harga sebuah Sutera ditetapkan pada RM35,998 di atas jalanraya bagi menampung kedua-dua pasaran tempatan dan seberang laut.
Menurut laporan Benama, berasaskan penyelidikan prapelancaran, jualan domestik Sutera tahun ini diunjurkan sebanyak 20,000 unit.
Selepas pelancaran Sutera itu, para pegawai NCSB telah menandatangani perjanjian dengan peniaga antarabangsa dari Malta, Cyprus, Sri Lanka, Brunei, India, Bangladesh, Afrika Selatan, United Kingdom, Pakistan, Nepal dan Singapura untuk membuka laluan bagi pengeksportan kereta itu.
NCSB adalah satu entiti baru di bawah kumpulan Naza yang diwujudkan untuk mengedar, menjual dan memberi servis kereta buatan tempatan melalui rangkaian baru 34 peniaga jualan dan servis di negara ini.
Ini tidak termasuk 50 peniaga sedia ada dan rangkaian servis selepas jualan di bawah rangkaian Naza Kia.
Pelaburan RM1.3 bilion
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza, Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin berkata apabila siap sepenuhnya, kilang itu dijangka menyaksikan pelaburan berjumlah RM1.3 bilion.
Beliau berkata, pembinaan kilang itu akan bermula tahun ini dijangka siap dalam 2007.
Pengeluaran komersial akan bermula dalam 2008 yang membabitkan empat model iaitu Sutera dan tiga yang lain dengan nama kod NX02, NX03 dan NX04, katanya di majlis itu. Sutera kini dipasang di Pekan, Pahang.
Kilang Bertam akan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 100,000 unit. Fasa pertama kilang seluas 102 ha itu dijangka berharga RM570 juta yang meliputi pengambilalihan tanah, bangunan, kemudahan mengecat, pemasangan badan dan kemudahan lain.
SM Nasimuddin berkata kawasan 100 hektar lagi berdekatan kilang itu akan diperuntukkan kepada vendor untuk membina kilang mereka masing-masing.
Vendor-vendor berkenaan dijangka melabur RM180 juta dalam fasa pertama, katanya.
Dalam fasa kedua, Naza akan melabur tambahan RM450 juta bagi membina kemudahan penghentakan dan kilang engin manakala vendor-vendor akan membelanjakan RM100 juta lagi.
Sehingga ini, beliau berkata Naza telah melantik 87 vendor untuk membekalkan pelbagai komponen untuk enam model Naza.
Kilang itu dijangka mewujudkan 4,000 peluang pekerjaan oleh Naza dan 6,000 lagi oleh vendornya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.