Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian persempadanan semula lepas 2023 meski jumlah pengundi meningkat

Kajian persempadanan hanya boleh dilakukan selepas tahun 2023 meskipun banyak kawasan mempunyai pemilih melebihi 100,000 orang selepas pelaksanaan had umur minimum pengundi 18 tahun.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hanipa Maidin berkata, jumlah pengundi akan meningkat selepas had umur minimum pengundi diturunkan dan pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan.

"Untuk makluman Yang Berhormat, berdasarkan kepada daftar pemilih tambahan suku tahun kedua tahun 2019, sebanyak 29 bahagian pilihan raya parlimen sedia ada mempunyai jumlah pemilih melebihi 100,000 orang.

"Jumlah pemilih akan meningkat selepas undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan.

"Walau bagaimanapun, maklumat bagi lain-lain bahagian pilihan raya parlimen hanya akan diketahui selepas pendaftaran ke atas pemilih yang berkaitan dilaksanakan," katanya dalam satu jawapan bertulis.

Perkara itu dibangkitkan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang meminta perdana menteri menjelaskan berapa kawasan parlimen yang akan mempunyai jumlah pemilih melebihi 100 ribu orang selepas undi 18 dan pendaftaran automatik dilaksanakan.

Azman turut bertanya pendekatan yang akan diambil untuk memastikan bahawa tiada kawasan parlimen yang mempunyai terlalu ramai pengundi berdasarkan perkembangan ini.

Sementara itu, Hanipa berkata bagi tujuan memastikan sesebuah bahagian parlimen tidak mempunyai bilangan pengundi yang terlalu ramai, ia hanya boleh dilaksanakan semasa urusan kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya dijalankan.

"Dalam hal ini, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada hanya boleh dilaksanakan selepas tamat  tempoh lapan tahun atau terdapat pindaan undang-undang ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

"Bagi maksud tersebut, tempoh lapan tahun bagi kajian semula persempadanan negeri Sarawak akan berakhir pada tahun 2023, negeri Sabah pada tahun 2025 manakala negeri-negeri Tanah Melayu pula pada tahun 2026," katanya.

Pada 28 Mac tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya, dengan 129 Ahli Parlimen menyokong, manakala 80 lagi menolaknya, selepas pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Persempadanan semula yang dibentangkan ketika itu, menyaksikan 12 kawasan Parlimen dan 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan pindaan nama.

Bagaimanapun, pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN didakwa sukar dilaksanakan berikutan kekangan topografi dan demografi.

Lihat Komen
ADS