Bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba boleh membuka matanya sekali-sekala sungguhpun keadaan kesihatannya masih kritikal tetapi stabil.

Tamrin, anak kedua Ghafar, ketika dihubungi Bernama berkata ayahnya sekali sekala membuka mata.

"Sungguhpun boleh membuka mata beliau tidak mampu menggerakkan tubuhnya," kata Tamrin sambil menambah, keadaan ayahnya masih kritikal tetapi stabil dan masih memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Gleneagles Intan (GIMC), Stuart Pack berkata keadaan kesihatan Ghafar tidak banyak berubah daripada semalam masih kritikal tetapi stabil.

Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Rahman Yaakub dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Zulhasnan Rafique adalah antara kenamaan yang melawat Ghafar hari ini.

Ghafar, 81, dimasukkan ke GIMC pada 24 Januari kerana serangan asma. Oktober lalu beliau dirawat di Pusat Perubatan Pantai kerana sakit jantung dan komplikasi paru-paru.