Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Perak: Isu hak milik kekal tanah kampung baru perlu pandangan semua

Isu pemberian hak milik kekal tanah kampung baru di Perak akan dimuktamadkan selepas mendapat pandangan daripada semua pihak.

Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata perbincangan bersama perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum penyelesaian mengenai perkara itu dapat diputuskan.

"Kita akan mendapatkan pandangan daripada semua pihak dan tentunya apa yang diperkatakan dalam Konvensyen DAP akan mendapat perhatian daripada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak.

"Kita akan buat keputusan bila kami mesyuarat, bila kami dapat duduk bersama (isu berkaitan hak milik kekal tanah kampung baru) itu akan dibincangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Bersama Menteri Besar dan Ahli Lembaga Pengarah Koloni Karyawan Amanjaya (PORT) di Ipoh, semalam.

Semasa Konvensyen DAP Perak dua hari lalu, pengerusi DAP negeri Nga Kor Ming berkata DAP Perak mendesak kerajaan negeri menunaikan janji pemberian hak milik kekal tanah kampung baru bermula hujung tahun ini.

Beliau juga berkata beberapa janji lain yang terkandung dalam buku manifesto tawaran PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-41 (PRU14) lalu itu juga akan dituntut.

-Bernama

Lihat Komen
ADS