Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan sedia tubuh bank khusus untuk pinjaman perumahan
Diterbitkan:  Nov 26, 2019 1:25 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

PARLIMEN l Kerajaan bersedia menimbang cadangan penubuhan bank khusus untuk memudahkan proses pinjaman perumahan mampu milik dan kos rendah, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata cadangan itu perlu bersesuaian dengan syarat yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu bank seumpama itu perlu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.

“Cadangan akan diambil kira sekiranya BNM berasa perlu untuk membolehkan lebih banyak pinjaman berkaitan perumahan dapat dibiayai. Tetapi kalau kita lihat trend yang diterima pakai BNM adalah kena pastikan bank itu dapat memainkan peranan sewajarnya.

“Bukan sekadar mempunyai dana atau modal, namun mampu menghadapi segala cabaran dalam pasaran khususnya era digital,” katanya.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menubuhkan bank khusus untuk membiayai pinjaman perumahan bagi memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah sendiri.

Mengulas lanjut, Lim berkata sebelum bank seumpama itu ditubuhkan, BNM memastikan bank-bank sedia ada di negara ini bersedia menghadapi pelbagai cabaran dari luar negara bagi memastikan kelangsungan fungsi dan peranan sebagai penyedia pinjaman.

Kepada soalan asal Hassan yang ingin tahu sejauh mana kemajuan dicapai BNM dalam membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah di negara ini memiliki rumah, Lim berkata Dana Rumah Mampu Milik dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion ternyata memberi kesan positif sejak dilancarkan Januari lepas.

Beliau berkata sehingga 31 Okt lepas, lebih 3,100 permohonan bernilai RM596 juta telah diluluskan.

“Melalui dana ini, pembeli rumah pertama terutamanya golongan muda akan mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi lebih murah daripada pasaran semasa selama 40 tahun,” katanya.

Lim berkata setiap pembeli rumah pertama perlu mempunyai pengetahuan kewangan bagi memastikan mereka tidak akan terbeban dengan bayaran pembiayaan di masa hadapan.

Justeru, beliau mahu bakal pembeli merujuk modul pendidikan dalam talian, portal Rumahku yang disediakan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit bagi membantu golongan itu memahami komitmen kewangan yang bakal dihadapi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS