PKR harus akur dengan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengaku terdapat kekhilafan dalam tindakannya mencadangkan kepada parti itu untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap ahlinya yang dikatakan terlibat dalam salah laku.

Naib presidennya, Zuraida Kamaruddin berkata SPRM telah membuat kenyataan itu secara jelas dan menyarankan tiada spekulasi timbul berhubung perkara itu.

“Mereka (SPRM) telah membuat pengumuman dan PKR perlu menerimanya. Jadi kita tidak seharusnya membuat spekulasi mengenai apa-apa perkara lain,” katanya ringkas kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bina Bangsa 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Isu berkenaan timbul apabila dua ahli PKR dari Pahang dipecat berkuat kuasa serta-merta pada 24 Nov setelah dipercayai terlibat dengan kes rasuah dan suapan ketika pemilihan parti itu, pada tahun lepas.

Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Ahmad Kassim dilaporkan berkata terdapat perakuan daripada SPRM supaya parti mengambil tindakan terhadap mereka kerana wujud kesalahan dalam salah laku rasuah.

Sehubungan itu, semalam Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata terdapat kekhilafan berhubung perkara itu dan bukan menjadi dasar SPRM untuk membuat cadangan sedemikian kepada mana-mana parti politik berhubung salah laku ahli parti.

Azam berkata mengikut garis panduan tatatertib yang perlu diikuti SPRM, laporan sesuatu salah laku hanyalah dihantar kepada agensi dan kementerian kerajaan persekutuan atau negeri.

- Bernama