Tun Ghafar: Pemimpin Umno yang penuh keistimewaan
Seluruh ahli Umno akan mengingati Allahyarham Tun Ghafar Baba sebagai seorang pemimpin Umno dan pemimpin negara yang penuh keistimewaan sepanjang pembabitannya dalam politik tanahair.
Seluruh ahli Umno akan mengingati Allahyarham Tun Ghafar Baba sebagai seorang pemimpin Umno dan pemimpin negara yang penuh keistimewaan sepanjang pembabitannya dalam politik tanahair.
Antara keistimewaannya, Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin veteran Umno yang berkhidmat di bawah pentadbiran empat Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Abdul Razak Hussin, Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Allahyarham juga dikenali sebagai satu-satunya pemimpin Umno yang bertanding dan memenangi sembilan pilihanraya umum berturut-turut, dan tidak pernah tewas dalam pemilihan parti yang disertainya.
Ghafar memulakan kariernya sebagai seorang guru di sebuah sekolah Melayu di Melaka pada 1949. Allahyarham pernah menjadi setiausaha Kesatuan Guru pada 1946 hingga 1948.
Pada 1955 beliau bertanding dalam pilihanraya, dua tahun sebelum Merdeka. Empat tahun kemudiannya, pada 1959, beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka dan memegang jawatan tersebut selama lapan tahun.
Jawatan yang disandang
Jawatan lain yang pernah disandang Allahyarham ialah Setiausaha Umno Melaka (1951), Pengerusi Umno Melaka (1955), Ketua Menteri Melaka (1959-1963), Ahli Majlis Tertinggi Umno (1957), Ketua Penerangan Umno (1958), Naib Presiden Umno (1962-1987), Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Ketua BN Wilayah Persekutuan
Ghafar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 berikutan perletakan jawatan Tan Sri Musa Hitam. Dalam pemilihan Umno pada 1987, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad menang tipis jawatan presiden dengan menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah.
Manakala Ghafar pula berjaya menewaskan Musa bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Allahyarham memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno sehinga Oktober 1993.
Dalam pemilihan Umno pada 1993, Ghafar dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berjaya mendapat hampir 90 peratus pencalonan daripada 165 bahagian Umno ketika itu.
Berikutan itu, Ghafar telah menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden dan seterusnya bersara dari politik. Sejurus selepas itu, Anwar dilantik oleh Dr Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bersara politik
Sejak bersara dari politik, Ghafar telah melalui naik-turun dalam kehidupan peribadi dan perniagaannya.
Pada 1998, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Ghafar muflis bersama anak lelakinya, Mohamad Tamrin berhubung hutang lebih RM2.4 juta kepada seorang ahli perniagaan Choon Kok Min.
Bagaimanapun, perintah tersebut di batalkan sebulan kemudiannya atas alasan beliau telahpun menyelesaikan hutang berkenaan.
Pada 2002, isteri muda Ghafar D Heryati mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat dengan tiga pelajar rakyat Bosnia di Universiti Islam Antarabangsa.
Ghafar menceraikan Herayati pada 2003 tetapi mereka kemudiannya terbabit dalam kes perebutan hak penjagaan anak perempuan mereka yang ketika itu berusia enam tahun.
Pemimpin akar umbi
Sementara itu Bernama melaporkan, di kalangan rakyat jelata Ghafar lebih dikenali dengan panggilan "Encik Ghafar" akan dikenang sebagai seorang pemimpin akar umbi yang sentiasa hampir dengan mereka.
Walaupun raut mukanya sentiasa kelihatan serius, beliau mempunyai watak yang amat sederhana, mudah didampingi, seorang yang periang dan gemar menyelitkan unsur-unsur jenaka ketika berucap di hadapan rakyat.
Kesederhanaan wataknya dapat dilihat daripada keengganannya menerima sebarang pingat atau darjah kebesaran sepanjang bergerak aktif dalam politik dan kerajaan. Beliau lebih senang dengan panggilan "Timbalan Perdana Menteri Encik Ghafar Baba".
Beliau hanya sedia menerima anugerah yang membawa gelaran "Tun" selepas bersara sepenuhnya daripada politik.
Di kalangan rakan-rakan politik terutama sesama parti komponen Barisan Nasional, allahyarham dikenali sebagai seorang pendamai penuh diplomasi yang berjaya merungkai banyak pertelagahan dalaman.
Malah, allahyarham pernah mencipta sejarah politik tersendiri apabila menjadi satu-satunya orang Melayu yang diberi kepercayaan memimpin sebuah parti bukan Melayu iaitu MCA ketika parti itu dilanda krisis kepimpinan pada 1985/1986.
Ghafar yang pada masa itu Naib Presiden Umno telah dilantik memangku jawatan Presiden MCA selama kira-kira 10 bulan apabila kerusi tertinggi parti berkenaan menjadi rebutan antara bekas presiden (Tan Sri) Neo Yee Pan dan Presiden Tan Koon Swan.
Kehadiran allahyarham dalam menyelesaikan krisis parti itu sentiasa diingati oleh para pemimpin MCA, yang tidak pernah lupa mengunjungi allahyarham pada setiap ulang tahun kelahirannya dan pada Hari Raya Aidilfitri.
Perpecahan dalam Umno
Dalam Umno, karisma allahyarham sebagai tokoh penstabil kerap kali diserlahkan, dan antara yang paling sukar dilupakan ialah peristiwa beliau dipujuk mengisi kerusi Timbalan Perdana Menteri, setelah jawatan itu dikosongkan (Tan Sri) Musa Hitam pada 1985. Ketika itu Musa masih mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno.
Tindakan Musa meletak jawatan pada ketika itu telah menimbulkan perpecahan yang hebat di dalam Umno dengan satu pihak menyokong beliau dan satu lagi menyokong Perdana Menteri ketika itu (Tun) Dr Mahathir Mohamad.
Kesediaan Ghafar menerima tawaran Dr Mahathir untuk memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri berjaya meredakan keadaan kerana anggota Umno menghormati beliau sebagai seorang pemimpin yang tidak mementingkan kuasa atau pangkat, tetapi sebaliknya sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan negara.
Keikhlasan Ghafar sekali lagi dibuktikan apabila beliau dengan rendah diri berundur daripada jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1993, walaupun beliau berjaya mengalahkan Musa untuk jawatan itu pada pemilihan parti 1987.
Mengulas peristiwa itu beberapa tahun kemudian, Ghafar mengakui tindakannya tidak mempertahankan jawatan itu semata-mata untuk mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara.
Menyusuli peristiwa itu ialah keputusan allahyarham untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, dan kisah yang hangat diperkatakan orang ketika itu ialah tentang surat peletakan jawatannya yang ditulis di atas sekeping kertas Penerbangan Malaysia dengan pen yang dipinjam.
Allahyarham dikatakan menulis surat itu ketika berada di bilik VIP Lapangan terbang Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.
Peristiwa seperti yang dialaminya pada 1987 dan 1993 itu bukanlah tidak pernah dilalui Ghafar sebelum itu. Seawal 1959 lagi beliau pernah menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan tahun.
Pengalaman pahit
Allahyarham juga pernah meninggalkan Kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn pada 1974 dan menolak tawaran Dr Mahathir untuk menjadi Menteri Pelajaran pada 1981.
Ghafar terkenal sebagai seorang pemimpin yang cermat ketika menjalankan tugas dan sentiasa memastikan agar beliau tidak tersalah guna kuasa sama ada dalam parti atau dalam kerajaan.
Anaknya, Asri pernah berkata bahawa semasa arwah bapanya menjadi Ketua Menteri Melaka, mereka adik-beradik tidak pernah menggunakan kereta rasmi kerajaan untuk ke sekolah bagi mengelak daripada dituduh sebagai menyalahgunakan kuasa.
Itulah di antara beberapa keistimewaan Ghafar yang sukar ditandingi oleh kebanyakan pemimpin politik yang lain.
Di kalangan kaum sebangsanya Ghafar menjadi satu ikon "tokoh politik kampungan" yang berjiwa Melayu tulen.
Lahir di dalam keluarga miskin dengan 10 adik beradik, allahyarham tidak pernah merasa segan untuk berulang kali menceritakan kepada rakyat tentang pengalaman pahit yang pernah dilaluinya, termasuk sanggup menjaja ubi kayu di sekeliling kampungnya di Melaka.
"Pada zaman kanak-kanak, saya dan adik beradik tidak pernah menikmati kemewahan hidup dan kalau adapun peluang untuk makan nasi berlauk daging, ia hanya akan berlaku dua kali setahun iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha," cerita Ghafar dalam beberapa siri ceramahnya setiap kali menjelang pilihan raya umum di negara ini.
Ketika usianya meningkat 14 tahun, Ghafar berusaha mencari wang saku dengan menjadi pemungut bola golf dan bola tenis untuk golongan atasan, antaranya ialah almarhum Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman.
'Budak caddy'
Ironinya, 20 tahun kemudian "budak caddy" itu berupaya duduk semeja dengan Tuanku Abdul Rahman apabila beliau selaku Ketua Menteri Melaka menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.
Mengenai peristiwa itu, allahyarham pernah berkata: "Itulah kehidupan namanya. Kita tidak dapat jangka apa yang akan berlaku pada kita."
Ghafar yang lulus Maktab Perguruan Sultan Idris Shah Tanjung Malim dan pernah berkhidmat sebagai guru selama 14 tahun, mengakui bahawa beliau tidak pernah menyangka karier politiknya akan mencapai tahap yang begitu tinggi selaku Timbalan Perdana Menteri.
Dilahirkan pada 18 Feb 1925 di Kuala Pilah, Ghafar mula menyertai politik sejak berusia 15 tahun dengan menganggotai Kesatuan Melayu Muda dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya pada 1948, sebelum ia diharamkan oleh British.
Allahyarham kemudian menyertai Umno pada 1951 dan sehingga ini belum ada mana-mana tokoh politik di negara ini yang mampu mengatasi rekodnya yang berjaya mempertahankan kedudukan sebagai anggota dewan undangan negeri atau anggota parlimen selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.
Kawasan parlimen yang paling lama diwakilinya ialah Jasin yang dimenanginya sebanyak lima penggal berturut-turut sejak pilihan raya umum 1978. Kawasan parlimen terakhir diwakilinya ialah Batu Berendam yang dimenanginya pada 1999.
Sebelum memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Ghafar juga pernah menyandang beberapa lagi jawatan penting parti termasuk Naib Presiden Umno (1962 hingga 1987), Ketua Perhubungan Umno Sabah (1991) dan Pengerusi BN Sabah (1992).
Pembedahan jantung
Allahyarham juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional dari 1974 hingga 1993.
Dalam kerajaan pula beliau pernah menyandang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Untuk beberapa ketika beliau juga pernah memangku jawatan Perdana Menteri iaitu semasa Dr Mahathir menjalani pembedahan jantung pada 1989.
Selain kerjaya politik yang penuh warna-warni itu, Ghafar juga terkenal kerana usahanya memartabatkan ekonomi bangsa Melayu. Sebagai pengerusi Mara yang pertama pada 1967, beliau terlibat dalam mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara pada 1972 bagi menggalakkan pelajar Melayu mengikuti jurusan sains di universiti sebagai usaha menambah bilangan profesional Bumiputera.
Beliau turut menjadi penggerak utama penubuhan Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan Institut Teknologi Mara, kini UiTM.
Dengan jasanya kepada agama, bangsa dan negara yang tidak terhitung itu, allahyarham Abdul Ghafar Baba sudah pasti akan sentiasa dikenang sebagai seorang pemimpin sejati yang sukar dicari ganti.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.