Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri jangka laporan akhir kajian UEC dibawa ke Kabinet tahun ini

PARLIMEN | Laporan akhir pasukan petugas Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dijangka akan dimuktamadkan untuk dibentangkan di Kabinet tahun ini, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Maszlee berkata pasukan petugas telah mendapat maklum balas pelbagai pihak - membabitkan 27 NGO, lima parti politik, 12 agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi - sebelum mebuat rumusan.

Dua siri 'town hall' turut dibuat bagi mendapatkan pandangan golongan muda serta anggota parlimen, katanya.

"Laporan akan disusun dengan lampiran, termasuk transkrip setiap pertemuan. Sehingga hari ini pasukan petugas berjaya menyiapkan transkrip untuk 38 daripada 48 rakaman yang ada.

"Demi berlaku adil pada pihak yang mengemuka pandangan, proses ini dilakukan secara cermat, berhemah dan berhati-hati.

"Saya optimis laporan lengkap akan berjaya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada tahun ini juga untuk diteliti sebelum dibawa ke jemaah menteri untuk keputusan muktamad," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rosol Wahid (PH-Hulu Terengganu) yang memintanya menyatakan bila hasil kajian pasukan petugas UEC akan dibentang, serta sejauh mana ia akan mempengaruhi sekolah di negara ini pada masa akan datang.

Kajian pasukan petugas itu bertujuan memberi panduan kepada kerajaan mengenai dasar masa depannya berkenaan UEC.

Ia dipengerusikan penulis dan budayawan Eddin Khoo, dan dianggotai oleh Presiden Angkatan Belia Islam (Abim) Mohamad Raimi Abdul Rahim dan Timbalan Pengerusi Dong Zong, Tan Yew Sin.

Lihat Komen
ADS