Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Ketua Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang, Fahmi Zainol menafikan mesyuarat yang akan diadakan di ibu pejabat parti itu di Seberang Jaya jam 9 malam ini melibatkan pemimpin sayap parti itu dari setiap cabang dan ranting.

Bercakap kepada Malaysiakini, Fahmi mendakwa mesyuarat malam ini hanya melibatkan individu yang memihak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Tambah Fahmi, sayap itu tidak menjemput media untuk membuat liputan majlis tersebut, yang dikatakan dirancang diadakan di Keadilan Square, di Jalan Baru.

Bagaimanapun terdapat wartawan yang menerima jemputan melalui WhatsApp untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

"Kami terpaksa mengeluarkan kenyataan selepas jemputan dihantar kepada media, dan pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli kami, dengan menggunakan nama sayap AMK Pulau Pinang.

"Penafian kami selaras dengan mesyuarat jawatankuasa AMK pusat di mana ahli telah memilih untuk memberi tumpuan kepada isu yang melibatkan golongan muda dan rakyat, yang memerlukan perhatian yang serius.

"Elak sebarang usaha atau tindakan yang boleh memberi ruang untuk konflik antara golongan muda dalam PKR," tegas Fahmi.

Ditanya sama ada beliau tahu apa apa yang akan dibincangkan mesyuarat berkenaan, Fahmi menjawab, "Mungkin, mereka mahu buat pengumuman tertentu selepas perbincangan mereka".

Difahamkan pertemuan peribadi itu akan diadakan di tempat berkenaan oleh beberapa bekas dan pemimpin AMK serta ahlinya.

Malaysiakini masih belum menerima jemputan untuk menghadiri mesyuarat tertutup berkenaan.

Pada Ahad lalu, Ketua AMK Akmal Nasir sekali lagi menegaskan bahawa Kongres AMK yang akan dianjurkan bulan depan akan tetap dirasmikan oleh penasihat PKR, Wan Azizah Wan Ismail.

Kumpulan pro-Azmin mahukan timbalan presiden itu merasmikan kongres berkenaan kerana ia amalan biasa bagi pemimpin yang memegang jawatan itu untuk merasmikan kongres wanita dan AMK.

Ini makin menguatkan berlakunya konflik antara Azmin dan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang sebelum ini dijanjikan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8.

Anwar baru-baru ini berkata, ada pihak dalam parti itu sudah lupa landasan parti itu, dalam apa yang dilihat ditujukan kepada Azmin.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi AMK negeri, Nor Afni Md Yusuff menyiafatkan mereka yang menghantar notis palsu tanpa kelulusan Fahmi sebagai pihak tidak bertanggungjawab.

Nor Afni menggesa individu yang terlibat dalam mesyuarat itu supaya tidak menjemput media kerana acara itu tidak 'sah'.

Lihat Komen
ADS