Tun Ghafar bawa Umno ke Sabah
Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Umno di Sabah dan menjadi pengerusui perhubungannya yang pertama.
Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba adalah orang yang bertanggungjawab memperkenalkan Umno di Sabah dan menjadi pengerusui perhubungannya yang pertama.
Oleh itu, nama Ghafar tidak mungkin dapat dipisahkan dari politik Sabah dan sinonim dengan kewujudan dan perkembangan Umno di negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.
"Jadi ahli Umno dan rakyat Sabah amat sedih dengan pemergian Allahyarham Tun Ghafar," kata Yahya yang pernah berkhidmat di bawah Ghafar sebagai Setiausaha Perhubungan Umno negeri itu.
Katanya, rakyat Sabah terhutang budi kepada Ghafar kerana beliau menjadi pelopor kepada kemarakan semangat Umno dan Barisan Nasional (BN) negeri sehingga Sabah kini mempunyai sebuah kerajaan yang kuat dan bersatu.
"Atas sumbangan itu kita akan abadikan nama dan semangat Tun Ghafar dalam sejarah negeri Sabah," katanya.
Menurut laporan Bernama , Yahya menyifatkan Ghafar sebagai pemimpin yang baik, sabar, taat kepada pemimpin dan berdedikasi kepada perjuangan parti.
"Kita akan sentiasa mencontohi perjuangan beliau yang bermula dengan pahit getir, sedih tetapi pada akhirnya telah mencapai kedudukan sebagai pemimpin yang dihormati, bukan sahaja oleh ahli Umno tetapi rakyat keseluruhannhya," katanya.
Kepelbagaian ideologi
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Abdul Rahim Ismail menganggap ketokohan Ghafar sebagai formula amat berkesan terhadap kejayaan Umno mengembangkan sayapnya ke Sabah.
"Ketokohan dan kesederhanaan Tun menyebabkan beliau mudah diterima oleh rakyat Sabah yang sebelum itu amat sukar disatukan disebabkan kepelbagaian ideologi politik.
"Apabila Umno dibawa masuk ke Sabah di bawah pimpinannya, rakyat khususnya orang Islam menerima parti itu dengan dada terbuka. Ini adalah kerana pendekatan Tun Ghafar yang bersifat "kekampungan" ketika berbicara, dan kualiti itu sangat disenangi masyarakat Sabah," kata Rahim yang pernah menyandang jawatan Ketua Penaja Umno Bahagian Tuaran.
Ketua Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke India dijangka mengeluarkan kenyataannya lewat petang ini.
Menteri Besar Perak, Tajol Rosli berkata peranan Allahyarham dalam penggabungan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia; pembubaran Usno yang memberi laluan kepada kemasukan Umno ke Sabah dan kejayaannya selaku setiausaha agung Barisan Nasional akan terus dikenang.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.