‘PH lantik 18 CEO baru sejak ambil alih k’jaan’
Sebanyak 18 syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerima Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan pada 8 Mei 2018.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata daripada 18 lantikan baharu itu, gaji lima CEO telah diturunkan, empat CEO dinaikkan dan sembilan CEO kekal.
“Jumlah keseluruhan gaji 18 CEO baharu ini adalah lebih rendah berbanding gaji CEO terdahulu. Jumlah penjimatan adalah sebanyak RM87,050 sebulan atau RM1.04 juta setahun,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Lim berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) yang ingin tahu senarai syarikat MKD serta syarikat GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kawalan kementerian yang dilantik CEO baharu dan perbandingan gaji mereka dengan CEO terdahulu.
Beliau turut menegaskan tiada ahli politik dilantik sebagai CEO syarikat MKD atau GLIC di bawah kawalan kementerian dan dalam Lembaga Pengarah syarikat-syarikat itu kecuali lantikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).
“Bagaimanapun, Dr Mahathir dan Mohamed Azmin tidak menerima sebarang elaun tahunan dan elaun mesyuarat lembaga pengarah dalam Khazanah,” kata Lim.
- Bernama

